HARAPAN kemuka strategi tarik semula pelabur ke M'sia


JAWATANKUASA ekonomi (HARAPAN) mengemukakan dua strategi bagi mengembalikan keyakinan pelabur ke negara ini dalam keadaan norma baharu.

Melalui satu kenyataan, jawatankuasa itu berkata, strategi meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam perlu dalam mendepani wabak Covid-19 dan variannya.

“Ini termasuklah bekerjasama dengan sektor swasta sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘whole of society’ dalam usaha melawan wabak ini.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membina pusat rawatan khusus untuk Covid-19 bagi mengurangkan beban hospital sedia ada,” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Jawatankuasa itu dianggotai  Tony Pua, (Petaling Jaya), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Wong Chen (Subang), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), Noor Amin Ahmad (Kangar) sealain Ammar Atan (Pemuda Amanah), Raja Ahmad Iskandar Fareez (DAP), Syeikh Khuzaifah (Pemuda Amanah) dan E Hun Tan dari DAP.

Selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan kesihatan awam, jawatankuasa itu turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan ruang kerja kalis pandemik.

Ia untuk memastikan kesinambungan kegiatan ekonomi susulan bilangan kluster tempat kerja yang tinggi terutamanya daripada sektor pembuatan.

“Kerajaan digesa untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM15 bilion dalam bentuk geran dan pembiayaan mudah bagi membantu perniagaan daripada semua sektor untuk menjadikan fasiliti mereka kalis pandemik,” kata mereka.

Jawatankuasa itu berkata kebanyakan kilang, terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS) yang sedang bergelut dengan masalah kewangan tentunya tidak mampu menanggung kos untuk mengubahsuai fasiliti mereka menjadi kalis pandemik.

Dua strategi untuk pikat semula pelabur
Mereka merujuk usaha kerajaan negeri Selangor sebelum ini yang  memulakan usaha berkenaan dengan memperkenalkan ‘Program Prevention of Outbreak at Ignition Sites’ (POIS), termasuk memperuntukkan RM500,000 untuk memastikan pematuhan dan kawalan kesihatan di tempat kerja.

“Kerajaan tentunya mempunyai sumber dan kekuatan kewangan untuk berbelanja lebih banyak daripada kerajaan Selangor dalam memastikan kejayaan program seumpama ini,” kata kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments