SEORANG wakil rakyat mahu penjelasan pihak berkuasa berkenaan fatwa "Amanat Haji Hadi" yang sebelum ini diharamkan.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bahgarib Ali dalam satu kenyataan media mahu penjelasan itu susulan dakwaan warganet bahawa amanat yang didakwa memecah belah orang Islam hanya kerana pandangan politik berbeza itu telah dikeluarkan dari senarai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)
Sheikh Umar berkata sebagai bekas ahli PAS yang pernah didoktrin dengan "Amanah Haji Hadi" ketika berdepan dengan Umno pada suatu masa dulu dia tertunggu-tunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa.
"Bahkan Majlis Fatwa Kebangsaan serta menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama sepatutnya turut memberikan penjelasan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Isu amanat Haji Hadi kembali mencuri perhatian setelah seorang pengguna Twitter @apanakdikato berkongsikan tangkapan layar dan bertanya melalui ciapannya "Apakah benar @MyJakim telah memadam fatwa itu yang telah difatwa haram pada 2002?" dari laman sesawangnya.
Susulan pertanyaan itu, Jakim memberitahu mereka akan menyemak terlebih dahulu dakwaan sama ada benar fatwa itu benar-benar telah dipadamkan seperti didakwa.
"Saya semak dulu,” kata Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat Jakim, Zakaria Othman, ringkas seperti dilapor Malaysiakini.
Kafir mengkafir dan perpecahan serius
Sebagai rekod, ucapan Abdul Hadi Awang pernah mencetuskan krisis serta perpecahan yang serius dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Antara petikan ucapan Hadi di Kampung Banggul Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 itu adalah:
"Saudara-saudara sekelian percayalah, kita menentang Umno bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku."
Pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam.
Menurut fatwa pada 21 November 1984, jika terdapat tuduhan atau anggapan oleh anggota atau penyokong PAS atau sesiapa sahaja terhadap anggota UMNO, pemimpin atau pegawai kerajaan beragama Islam sebagai kafir, atau sebaliknya (UMNO menuduh PAS), ia adalah tidak benar dan sia-sia. Ini kerana anggota-anggota UMNO atau sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam negara ini.
Fatwa itu turut menyatakan tuduhan mengatakan seseorang yang beragama Islam sebagai kafir adalah perbuatan haram yang perlu diberhentikan serta-merta dan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT.
Laporan media turut menyebut Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengesahkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan “Amanat Hadi” sebagai sesat.
Sementara itu tambah Sheikh Umar, berdasarkan pengalaman peribadinya sebagai Ahli PAS, kenyataan dibuat Abdul Hadi kira-kira 40 tahun lalu itu memberi kesan besar khususnya dalam arena dakwah serta politik tanah air.
Amanat itu katanya turut memberi impak terhadap budaya takfiri (mengkafirkan orang lain) dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Sebagai orang muda dalam PAS lebih 10 tahun dahulu, katanya, mereka memahami bagaimana wujud suasana berpecah-belah seperti sembahyang dua imam, menolak sembelihan orang Umno dan memperbaharui akad nikah.
"Saya mengharapkan penjelasan yang sewajarnya diberikan segera.Amanat Haji Hadi difatwa sesat
"Perkara ini juga penting khususnya setelah PAS mengambil sikap yang berbeza berbanding dahulu menerusi kerjasama dengan Umno bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.
"Rakyat berhak diberi penjelasan. Bahkan ahli-ahli PAS, bekas-bekas ahli serta mereka yang pernah menerima tarbiah PAS juga seharusnya mendapat penjelasan berkaitan duduk letaknya perkara ini bagi mengelakkan kekeliruan," katanya dipetik.
0 Comments