KETUA Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berhubung arahan menganugerahkan Syarikat Altel Communications kontrak spektrum 2x5Mhz untuk jalur frekuensi 900Mhz.
Menurut Ahli Parlimen Johor Bahru itu penganugerahan kontrak secara arahan menteri (ministerial order) bertarikh 31 Mei bagi tempoh lima tahun itu adalah sama sekali tidak wajar terutama dibuat ketika darurat dan Parlimen ditutup.
Tindakan itu jelasnya dibimbangi akan akhirnya menyebabkan tiada ketelusan serta proses semak dan imbang dalam penganugerahan kontrak itu.
“Beliau (Saifuddin) menggunakan arahan menteri untuk melantik Digital Nasional Berhad (DNB) sebagai satu-satunya pihak untuk membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G di seluruh negara.
"Tindakan arahan Menteri untuk penganugerahan kontrak spektrum dan 5G adalah tidak bertanggungjawab ketika mana Parlimen sedang digantung," kata kenyataan itu.
Melalui kenyataan itu juga Akmal mempersoal sikap degil Saifuddin menggunakan arahan Menteri tanpa melalui proses tender terbuka bagi menganugerahkan kontrak sedangkan pada tahun lepas beliau terpaksa membatalkan kaedah yang sama akibat bantahan dan kritikan banyak pihak.
Sebagai rekod pada tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengarahkan pembatalan dan penentuan penggunaan spektrum di dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G susulan isu teknikal, undang-undang serta perlunya mengikut proses yang telus.
Mengulas lanjut, Akmal turut mempersoal jumlah harga yang perlu dibayar syarikat tersebut bagi mendapatkan kontrak tersebut.
Malah beliau turut mengingatkan bahawa negara kecil lain memiliki sekurang-kurangnya dua penyedia rangkaian 5G bagi mewujudkan persaingan serta memberi pilihan alternatif.
|
Akmal mempersoalkan tindakan Saifuddin |
“Ini amat dikhuatiri akan membuka ruang kepada ketirisan, monopoli dan mutu perkhidmatan yang lemah yang seterusnya akan menjadi beban kepada rakyat sebagai pengguna,” tegasnya.
0 Comments