BEKAS Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengkritik kenyataan Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata kenaikan minyak masak ketika ini adalah munasabah.
Tegasnya, kenaikan lebih 100 peratus harga minyak masak berbanding harga pada Disember 2019 adalah sama sekali tidak munasabah dan tindakan segera oleh kerajaan perlu dilaksana bagi memastikan harga tidak membebankan pengguna di negara ini.
"Pada hari ini tatkala pandemic Covid-19 sedang melanda, kehidupan rakyat cukup terkesan. Kelompok yang paling terkesan ialah kelompok B40 dan M40.
"Hilang kerja dan terjejas punca pendapatan memberi kesan kepada kuasa beli kelompok ini. Ini kerana 40% daripada pendapatan bulanan mereka akan dibelanjakan untuk membeli keperluan makanan.
"Oleh demikian ketika harga barangan meningkat, tekanan dialami kelompok ini lebih berat. Sebab itu kenaikan harga minyak masak umpamanya menjadi isu hangat.
"Saya kurang setuju dengan kenyataan Menteri Khairuddin Aiman Ghazali bahawa kenaikan harga minyak masak ini munasabah," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu dalam kenyataan.
Khairuddin yang merupakan Ahli Jawatankuasa PAS sebelum ini berkata sangat munasabah harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol lima kilogram.
Hal itu menurutnya ekoran kenaikan harga minyak sawit mentah yang menyebabkan berlaku kenaikan harga minyak sawit bertapis atau minyak masak.
Bagaimanapun di laman sosial, warganet mengkritik kenyataan Khairuddin itu.
Saifuddin sementara itu mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan harga dua peringkat (two-tiered pricing) untuk harga minyak sawit mentah - dijual mengikut harga pasaran bagi tujuan eksport tetapi memperkenalkan harga lebih rendah untuk jualan domestik.
“Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang.
“Bukan sahaja harga minyak masak tanpa subsidi murah bahkan subsidi yang ditanggung kerajaan akan berkurangan,” katanya.
Saifuddin turut mencadangkan supaya kerajaan membiayai subsidi untuk semua bekalan minyak masak dalam negara ataupun melaksanakannya sebagai pemberian one-off sekiranya berdepan dengan kekangan peruntukan.
“Langkah ini dengan serta merta akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna.
“Cadangan ketiga saya ialah kerajaan boleh menggunapakai Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran hari ini.
K'jaan perlu tangani isu kenaikan harga |
“Hal ini akan segera memberi kelegaan kepada rakyat,” kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu lagi.
0 Comments