ATAS titah perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Istana Negara bakal mengadakan sesi perbincangan khas raja-raja Melayu di Istana Negara pada 16 Jun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja lstana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin melalui kenyataan media petang tadi selepas pertemuan baginda dengan beberapa pemimpin politik hari ini.
Tambah kenyataan itu, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah atas inisiatif Sultan Abdullah dan akan dipengerusikan oleh seri paduka sendiri.
“Perbincangan khas raja-raja Melayu ini berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat.
"ini adalah kali kedua seumpamanya diadakan di Istana Negara sejak Seri Paduka menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019,” kata Ahmad Fadil.
Siang tadi, Yang di-Pertuan Agong bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim selama satu setengah jam.
Anwar ketika ditemui media sebaik keluar dari Istana Negara memaklumkan bahawa perbincangan dengan baginda tertumpu pada keadaan darurat dan langkah untuk memerangi wabak Covid-19.
Perbincangan berhubung wabak dan isu darurat |
Difahamkan, esok 10 Jun, beberapa ketua parti politik turut dijadualkan menghadap Al-Sultan Abdullah.
0 Comments