KERAJAAN Negeri Sembilan mengumumkan lanjutan pemotongan gaji Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri untuk disumbangkan ke Akaun Amanah Bencana negeri untuk tempoh enam bulan lagi.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun seperti dilapor portal Bernama berkata, pemotongan gaji 10 peratus membabitkan pemimpin kerajaan negeri itu kini adalah bagi tempoh 12 bulan sehingga Disember.
Untuk rekod, sebelum ini kerajaan negeri memutuskan untuk membuat pemotongan gaji Menteri Besar dan Exco bermula Januari sehingga Jun.
Selain itu menurut Aminuddin, elaun 1,716 penjawat awam negeri akan dipotong berdasarkan gred perkhidmatan iaitu gred 29 ke atas untuk disumbangkan ke akaun tersebut selama tiga bulan bermula bulan depan.
Walau Bagaimanapun, kerajaan negeri bakal memperuntukkan RM6 juta bagi membantu golongan terjejas ekoran penularan pandemik Covid-19.
"Daripada jumlah itu, sebanyak RM5 juta diperuntukkan untuk program bantuan bakul makanan kepada 50,000 penerima, RM500,000 pengecualian bayaran sewa gerai manakala RM500,000 bagi pembelian alat oksigen untuk kegunaan di hospital Covid-19 di negeri ini.
“Pemberian bakul makanan itu diedarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan pusat khidmat rakyat masing-masing,” katanya pada sidang media secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri semalam.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Negeri Sembilan itu turut berkata, “Pengecualian bayaran gerai di bawah majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis daerah di semua kawasan pihak berkuasa tempatan di negeri ini pula bagi tempoh Jun ini. Bantuan untuk rakyat akan disalurkan
Peruntukan tersebut jelasnya merupakan dana daripada RM10 juta yang diumumkan minggu lepas manakala baki RM4 juta akan disalurkan sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.
0 Comments