PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa kerajaan dikepalai Muhyiddin Yassin tidak meningkatkan kadar ujian Covid-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.
Menerusi satu kenyataan media, Ahli Parlimen Port Dickson itu bertanya, apakah tindakan itu bertujuan menutup kelemahan kerajaan membendung wabak Covid-19 ini dan hanya menunggu fasa vaksinasi besar-besaran yang akan bermula pada Julai atau Ogos ini.
"Saya telah mengajukan persoalan kepada Perdana Menteri tentang rasional menurunkan kadar pengujian semasa PKP di mana kita tahu kes-kes sporadik sedang meningkat, kematian meningkat dan variasi terus merebak, dan ini ternyata membimbangkan.
"Pakar-pakar perubatan juga turut mempersoalkan tentang rendahnya kadar pengujian kita, dan mereka juga percaya bahawa laporan kes harian tidak menggambarkan jumlah kes jangkitan yang sebenar.
"Logik mengatakan sekiranya kadar positif kes Covid-19 berada pada kadar 7% atau lebih, ia bermakna mengurangkan kadar pengujian akan memberikan gambaran yang salah tentang kes-kes jangkitan Covid-19," katanya.
Tambah Anwar, penguatkuasaan PKP mesti disusuli usaha membendung penularan wabak ini secara proaktif.
Kegagalan untuk meningkatkan kadar ujian Covid-19 tegasnya hanya akan menyebabkan lebih ramai yang dijangkiti Covid-19 tidak akan dikuarantin sekaligus menjagkiti orang lain yang akhirnya akan menyebabkan gelombang kes yang menggila tinggi dan juga kadar kematian lebih tinggi.
"Kerajaan ini terus berselirat dengan masalah untuk melaksanakan SOP yang mengelirukan dan menyusahkan orang ramai. Sudah 15 bulan kita berdepan dengan ancaman wabak, tapi kerajaan masih menggunakan taktik dan strategi lapuk yang ternyata telah gagal.
“Demi rakyat Malaysia, saya benar-benar berharap sebab untuk mengurangkan kadar pengujian bukan untuk menggambarkan kes semakin menurun bila secara realitinya kerajaan terus gagal dan rakyat terus mati.
“Dengan pengujian besar-besaran kita akan mendapat gambaran sebenar tentang penularan wabak Covid-19, ambil langkah-langkah proaktif untuk kuarantin dan pengesanan kontak bagi melindungi warga yang terdedah dengan marabahaya untuk tiga bulan mendatang,” katanya lagi.
Jalankan usaha proaktif ketika tempoh PKP |
"Berdasarkan syor dari WHO ini, kita harus lipat gandakan kadar pengujian," tambah Presiden KEADILAN itu lagi.
Semalam Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar ujian saringan harian Covid-19 Kementerian Kesihatan (KKM) adalah memadai.
Dipetik laporan media, Noor Hisham menjelskan isu yang kerap dihadapi KKM ialah makmal sektor swasta lambat memasukkan data kes negatif ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) setiap hari, khasnya pada cuti umum.
0 Comments