SEORANG pemimpin Umno mempersoalkan mengapa isu penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) tiba-tiba timbul ketika beberapa pemimpin parti politik dititah menghadap Yang di- Pertuan Agong di Istana Negara semalam.
Mohd Puad Zarkashi merujuk tindakan kenyataan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri. Marzuki Mohamad yang bercakap mengenai penubuhan majlis itu yang menurutnya seolah-olah mahu mengalih isu.
"Tiba-tiba muncul video dia (bercakap) tentang Mageran. Dia membidas pihak yang mahu Mageran dilaksanakan. Apakah dia bercakap atas kapasiti individu atau mewakili perdana menteri?
"Kenapa tiba-tiba bangkitkan isu Mageran? Mahu alih isu?" soal Mohd Puad dalam satu hantaran ringkas di Facebook seperti dipetik media.
Marzuki dalam rakaman berdurasi sembilan minit menyuarakan bantahan terhadap penubuhan Majlis Gerakan Negara (Mageran) - sama seperti majlis yang memimpin negara pada 1969 hingga 1971 susulan tragedi 13 Mei.
Pentadbiran Muhyiddin ketika ini dikritik kerana dianggap gagal mengawal pendemik Covid-19. Tindakan kerajaan dipimpinnya menggantung sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) turut dikecam banyak pihak.
Sebagai rekod difahamkan sekiranya Mageran mengambil alih pentadbiran negara dan mengikut model seperti pada 1969, sejumlah 70 menteri dan timbalan menteri yang ada pada masa ini mungkin dikurangkan kepada hanya sepuluh.
Majlis itu akan hanya mewujudkan dua jawatankuasa bagi mentadbir negara iaitu Jawatankuasa Ekonomi dan Majlis Perundingan Nasional (MPN)
Semalam, pemimpin utama HARAPAN iaitu Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Limg Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara secara berasingan dan masing-masing selama kira-kira sejam.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor telah ke Istana Negara pagi ini dan pemimpin dari Pejuang dan Warisan juga dijangka berbuat demikian hari ini
Anwar dalam kenyataan kepada media berkata dalam pertemuan semalam beliau telah mengemukakan rayuan penamatan Proklamasi Darurat kepada baginda, namun tidak membincangkan isu berhubung pertukaran kerajaan.
Sementara itu, Puad mempersoalkan motif Marzuki memuat naik video tersebut, kerana menurutnya rakyat pada masa ini bukan mahukan pelaksanaannya tetapi penamatan darurat.
"Menurut Marzuki, darurat sekarang lebih baik daripada Mageran kerana kerajaan hanya laksanakan darurat keselamatan.Puad persoal motif kenyataan Marzuki
"Kalau darurat keselamatan, kenapa gantung Parlimen?
"Bahkan selepas lima bulan, angka kes Covid-19 terus meningkat dan tinggi. Jelas, darurat hari ini gagal," katanya lagi.
0 Comments