PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) akan mengusahakan satu petisyen dalam kalangan Ahli Parlimen yang akan dipersembahkannya kepada Yang Di-Pertuan Agong.
Melalui satu kenyataan Majlis Presiden gabungan itu berkata, petisyen itu bagi membuktikan bahawa majoriti Ahli Parlimen menyokong Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Berkaitan cadangan Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid, Majlis Presiden berpandangan bahawa penubuhan jawatankuasa tersebut tidak boleh menjadi alasan atau dalih untuk melewatkan sidang Parlimen,” kata kenyataan tersebut.
Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN merangkap pengerusi gabungan tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Mereka turut mengulangi pendirian gabungan itu bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
“Selaras dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos supaya Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang dan dipertimbangkan Ahli-ahli Parlimen.
“Pada masa sama, sidang yang disegerakan ini akan memberi ruang kepada Ahli-ahli Parlimen untuk membahas Pelan Pemulihan Negara, langkah-langkah mengatasi pandemik Covid-19 dan keperluan meningkatkan bantuan untuk rakyat yang sedang sangat tertekan pada waktu ini,” kata mereka melalui kenyataan.
Pada 16 Jun lalu Agong menzahirkan pandangan bahawa parlimen wajar bersidang secepat mungkin, antara lain bagi membolehkan ordinan darurat dibincangkan.
Pandangan itu kemudian disokong Majlis Raja-raja yang mengeluarkan kenyataan berasingan tidak lama kemudian. Turut ditekankan ialah tiada keperluan melanjutkan darurat selepas 1 Ogos serta pentingnya wujud kerajaan yang kukuh serta mendapat sokongan majoriti rakyat.
PN jangan cari alasan tangguh Parlimen |
Walau bagaimanapun Majlis Presiden HARAPAN berkata, mereka sedia menyertai jawatankuasa untuk mengkaji sidang Parlimen hibrid, namun jika Parlimen dibuka untuk bersidang sebelum 1 Ogos.
0 Comments