Azmin dan Zuraida gagal main peranan menteri - AMK


KETUA Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyokong petisyen dalam talian yang mendesak peletakan jawatan Azmin sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri kerana didakwa gagal menjalankan tugasnya dan mengakibatkan perintah kawalan pergerakan yang 'setengah masak'.
 
Pendirian itu disuarakan Akmal Nasrullah Mohd Nasir semasa ucapan dasar kongres tahunan sayap itu hari ini.

Dalam ucapannya juga, Akmal menyorot dakwaan kelemahan Mohamed Azmin Ali dan sekutunya, Zuraida Kamaruddin dalam memainkan peranan menteri mereka sekarang terutama dalam menyelesaikan banyak permasalahan melibatkan golongan belia di negara ini.

"Petisyen (terhadap) Tajuddin kena letak jawatan pengerusi Prasarana (dapat 139,000 tandatangan warganet).

"Hari ini kita tengok Azmin letak jawatan, 172,000. Kita pastikan petisyen ini kalau kita boleh capai 200,000 kita tengok perdana menteri berani suruh Azmin letak jawatan atau tidak," kata Akmal menyorot petisyen diluncurkan di laman Change.org terhadap bekas Pengerusi Prasarana, Tajuddin Rahman susulan kemalangan 2 buah tren LRT baru-baru ini.

BACA:
Petisyen desak Azmin letak jawatan

Azmin yang merupakan bekas Timbalan Presiden parti itu yang berpaling tadah bersama penyokongnya bergabung dengan Muhyiddin Yassin dan sekutunya untuk membentuk kerajaan persekutuan tanpa mandat dari rakyat.

Pentadbiran Muhyiddin dikecam teruk warganet kebelakangan ini susulan kegagalan mereka menangani pendemik Covid-19 yang dilihat semakin meruncing di negara ini.

Atas desakan ramai, pentadbiran Muhyiddin mengumumkan penutupan penuh aktiviti sosial dan ekonomi tidak penting.

Walau bagaimanapun, timbul kekecohan sejak seminggu lalu apabila kementerian dibawah Azmin didakwa membenarkan beberapa perkhidmatan tidak penting beroperasi sehingga membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan rakyat yang mahu penutupan penuh dilaksana dengan ketat bagi memastikan pendemik dapat benar-benar dikawal.

Semenyata itu, Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru menekankan kebimbangan mengenai beban kewangan yang dihadapi oleh belia, termasuk pembeli projek perumahan PR1MA di bawah bidang kuasa Zuraida.

Dia berkata walaupun Zuraida telah mengekalkan portofolioya sejak era pemerintahan HARAPAN namun dia masih gagal menangani masalah yang didakwa itu.

"Ingatkan projek yang didokongi oleh kerajaan tidak akan menghadapi masalah Sebaliknya, ada projek-projek PR1MA terbengkala, mereka (pembeli) terpaksa mula membayar bank dalam keadaan rumah yang bertahun-tahun tidak siap.

"Tarikh siap (yang masih tak siap-siap) ditukar sesuka hati, dan ada pembeli mengadu berjumpa YB menteri pun hanya buat sakit hati.

"Bukan apa, satu-satunya menteri yang memegang portfolio sama iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sudah tiga tahun tetapi dilihat tidak berupaya menyelesaikan isu rumah mampu milik," kata Akmal lagi.

Akmal bidas Azmin dan Zuraida dalam ucapan dasar
Sementara itu tambahnya. AMK terkesan dengan keluhan dan rintihan mereka yang sangat mengharapkan agar ada pihak yang berani tampil membela hak mereka dalam isu rumah ini.

Justeru tegasnya, sebaik wabak Covid-19 reda, AMK akan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk mendedahkan projek perumahan PR1MA yang bermasalah.
 

Post a Comment

0 Comments