DATUK SERI ANWAR IBRAHIM menegur kebiadaban Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan yang dianggap masih bertikam lidah berhubung titah Yang di-Pertuan Agong untuk membuka segera sidang Parlimen.
Ketua pembangkang itu berkata, Kerajaan PN menguar-uarkan tidak boleh sidang Parlimen kerana darurat. Maka, istana menjelaskan Parlimen masih boleh bersidang dan ianya ditempelak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara biadab sekali.
“Dalam kaitan dengan Parlimen, menteri Takiyuddin masih nak bersilat dan bertikam lidah dengan cara yang paling lemah dan hambar iaitu Tuanku tak menetapkan tarikh.
“Selalunya masyarakat Malaysia dalam mengulas kenyataan raja, kita akan mengatakan kami junjung titah dan kalau pun ada berbeza pendapat, kita akan cuba mengemukakan pandangan kepada Agong tentang keadaan sebaliknya.
"Ini tidak, terus ditolaknya,” Kata Presiden KEADILAN itu melalui siaran langsung di Facebooknya semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melalui kenyataan Istana Negara pada Rabu menitahkan supaya Parlimen diadakan segera.
Takiyuddin dalam satu program Bicara Harakah walau bagaimanapun dilihat cuba memberi alasan untuk Parlimen tidak bersidang dalam masa segera dengan memberi alasan bahawa Seri Paduka tidak menitahkan bilakah tarikh yang tepat untuk Dewan Rakyat bersidang.
"Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin.
"PM kita katapun bulan 9 atau 10, sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6," kata Setiausaha Agong PAS itu.
Susulan kenyataan tersebut, Takiyuddin didakwa menderhaka dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadapnya.
Sementara itu Anwar menegaskan bahawa bagi orang yang waras dan siuman, mereka pasti memahami bahawa istana terpaksa menyuarakan titah kerana keluhan masyarakat dan pandangan majoriti pimpinan politik yang menuntut supaya darurat dihentikan.
“Perdana Menteri nampak berkeras dan berdegil. Kamu tidak ada keabsahan dan kamu hilang kepercayaan, sepatutnya kamu tunduk kepada tuntutan Perlembagaan dan titah nasihat Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong untuk adakan Parlimen.
“Kalau kamu enggan, maka secara terhormat kamu harus undur dan letak jawatan. Itu pendirian HARAPAN yang saya percaya didukung Ahli Parlimen dan rakyat negara kita,” kata Anwar sambil menegur kedegilan Mahiaddin dan kabinetnya. Anwar tegur sifat degil pemimpin PN
0 Comments