SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berhubung kenyataan yang mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dalam ciapan di laman mikro Twitternya turut mengaitkan kenyataan pemimpin PAS itu dengan 'kelembapan' kerajaan menangani penularan wabak Covid-19.
“Kalau ikut Takiyuddin, tiga bulan adalah secepat yang mungkin. Patutlah kita selalu dengar kerajaan akan tangani Covid-19 secepat yang mungkin.
“Nampaknya kita dah salah tafsir maksud kerajaan,” kata Nik Nazmi dalam ciapan Twitternya.
Takiyuddin sebelum ini dibidas ramai setelah didakwa cuba memutar belit titah Seri Paduka Baginda apabila berkata, bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menitahkan tarikh yang tepat untuk Parlimen bersidang dengan menjelaskan perkataan digunakan dalam kenyataan Seri Paduka adalah persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Yang di-Pertuan Agong pun tidak menitahkan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan pada bulan tertentu, sebaliknya secepat mungkin.
“PM (Perdana Menteri) kata pun September atau Oktober. Sekarang kita dah hampir penghujung Jun. Selepas ini Julai, Ogos, September sudah hampir. Pasti persidangan akan diadakan,” katanya pada Bicara Harakah terbitan parti itu.
Seri Paduka sebelum ini menzahirkan pandangan sesi persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Titah itu dikeluarkan selepas Sesi Perbincangan Khas antara Yang di-Pertuan Agong Dan Raja-raja Melayu di Istana Negara semalam.
Sementara itu, kenyataan Takiyuddin turut menarik perhatian Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata titah baginda bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin, mudah difahami bahawa membawa maksud ia perlu diadakan sebelum tamatnya darurat.|Kenyataan Takiyuddin dibidas lagi
Ketua Pemuda Parti Pejuang, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin ketika mengulas kenyataan Takiyuddin pula mengatakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu kemaskini takrifan daripada segi bahasa tentang maksud ’segera’ pada selepas ini.
“Mahu faham apa maksud dan takrifan ‘segera’ bagi Takiyuddin Hassan? Antara sebelum dan selepas jadi kerajaan merangkap Menteri Undang-Undang?,” soal beliau.
0 Comments