Anwar bawa usul tamat darurat ketika menghadap Agong


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap sembah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah di Istana Negara kira-kira jam 11.54 pagi tadi.

Bercakap kepada media, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) memaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan rayuan penamatan Proklamasi Darurat kepada baginda.

Ia antara usul yang dibawakan ketika lebih satu jam sembah menghadap Al Sultan Abdullah di Istana Negara hari ini.

"Pandangan kita bahawa pengurusan darurat ini akan menyebabkan kerugian kepada negara, tidak akan membantu menangani masalah Covid-19 dan akan menjejaskan ekonomi terutama kepada rakyat peringkat bawahan.

"Saya tengok semua langkah yang boleh dilakukan tidak memerlukan darurat. Jadi kita merayu kepada Tuanku supaya sedaya upaya menghalang penerusan (darurat) ini," katanya kepada pemberita sejurus keluar dari pintu Istana Negara.
 
Sebagai rekod Anwar merupakan Ketua Parti kedua menghadap Al-Sultan Abdullah hari ini selepas perdana menteri Muhyiddin Yassin menghadap baginda untuk mesyuarat prakabinet pagi tadi.

Perjumpaan itu mengesahkan desas-desus semalam bahawa semua pemimpin parti politik di negara ini akan dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, dipercayai ada kaitan dengan keadaan semasa negara.

Selain Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Muhammad Sabu turut ke Istana hari ini. Proses menghadap oleh ketua parti politik itu dijangka akan berlangsung untuk beberapa hari.

Sementara itu,  Anwar menjelaskan, Seri Paduka Baginda begitu berlapang dada mendengar setiap penjelasan yang beliau bawa bersama beberapa laporan kajian.

"(Persidangan) Parlimen seperti yang kita tahu beberapa bulan lalu, Tuanku telah pun mengeluarkan pandangan kenyataan untuk meminta supaya Parlimen diadakan dengan syarat kerajaan bersetuju. Itu pun tidak dilakukan.

"Saya jelaskan perkara ini kerana ada persepsi yang berbeza seolah-olah Parlimen tidak dilakukan.

"Bagi turut berkenan berbincang mengenai pengurusan dalam negara, keyakinan rakyat, keyakinan pelabur dalam dan luar negara yang meminta supaya berlaku perubahan yang baik," katanya.

Sementara itu ketika ditanyakan apakah beliau turut membawa sebarang usul bagi menukar kerajaan, Anwar bagaimanapun berkata, ia tidak berlaku.

"Itu (tukar kerajaan) adalah soal yang tidak berbangkit sekarang," katanya.

Anwar jadi perhatian pengamal media
Sejak diumumkan 12 Jan lalu pelaksanaan darurat di negara ini menerima kritikan banyak pihak terutama dari blok pembangkang, NGO, bahkan sekutu kerajaan Perikatan Nasional (PN) iaitu Umno sendiri.

Antara kritikan yang dilemparkan, ialah Muhyiddin didakwa menggunakan darurat untuk terus kekal berkuasa di sebalik kekurangan sokongan majoriti yang didakwa dimilikinya di Dewan Rakyat.

Post a Comment

0 Comments