DAP mahu bantu Nini dan pengkritik PN yang dikenakan tindakan



PARTI DAP bersedia menawarkan khidmat pasukan guamannya secara percuma bagi tujuan membela sesiapa sahaja yang didakwa kerana mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung parti itu melalui satu kenyataan menperincikan tawaran itu bagi mereka yang dikenakan tindakan kerana kritikan terhadap pendekatan PN menangani wabak Covid-19 termasuk peniaga yang dikenakan tindakan akibat kekeliruan yang timbul dari SOP diumumkan kerajaan.  

"Walaupun DAP fokus untuk mendukung Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dengan membantu rakyat untuk mendaftar atau memudahkan proses vaksinasi yang pantas dan lancar, kami turut khuatir terhadap peningkatan jumlah aduan dari rakyat biasa mengenai dakwaan wujudnya pengeluaran kompaun tanpa sebarang asas atau secara tidak adil.
 
"Pasukan guaman DAP Kebangsaan serta semua pasukan guaman negeri akan menawarkan khidmat guaman percuma bagi membela di mahkamah mereka yang dijadikan mangsa kerana mengkritik ketidakcekapan Kerajaan PN, kerana mendedahkan amalan dua dalam pematuhan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), atau perniagaan yang disaman secara tidak adil akibat kekeliruan dan pusingan U dasar antara Kementerian," katanya.
 
Tambah bekas Menteri pada era pentadbiran Pakatan harapan (HARAPAN) itu lagi, individu yang mahu mendapatkan khidmat peguam boleh menghubungi wakil rakyat dari parti itu.

Dipetik laporan Malaysiakini, Guan Eng memberi contoh  kekeliruan dan pusingan U berhubung keperluan untuk mendapatkan permit semasa sekatan penuh PKP atau "total lockdown" dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengendalikan perniagaan.

"Pada mulanya, Miti adalah satu-satunya kementerian yang bertanggungjawab meluluskan permohonan tersebut, sebelum Majlis Keselamatan Negara membatalkan persetujuan itu dan tiba-tiba kembali kepada Miti dalam masa 24 jam," katanya dipetik laporan berkenaan.
 
Beliau turut membangkitkan isu seorang ahli perniagaan dari Bentong yang sedang disiasat polis setelah mengkritik Timbalan Menteri Perpaduan Negara dan Naib Presiden MCA Ti Lian Ker atas masalah yang dihadapi oleh pemilik perniagaan rumah pengebumian yang tidak dibenarkan beroperasi pada awal PKP kerana mereka belum mendapat persetujuan dari Miti.

Mahu bantu Nini

Dalam kenyataan medianya juga, Guan Eng berkata bahawa parti itu berminat menawarkan apa-apa bantuan undang-undang yang diperlukan kepada wanita yang mengambil gambar mirip Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan dua pembantunya yang didakwa membuat pandu uji pada 5 Jun di Juru Auto City, Pulau Pinang.

Sebagai rekod, gambar individu mirip Muhammad Sanusi itu dirakam  Nini Siron, 36, yang kemudian difahamkan telah membuat laporan polis berhubung pelanggaran SOP itu. Sebarang pandu uji kenderan adalah dilarang bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang berkuat kuasa sekarang.

Media kemudian melaporkan Nini diserang dalam talian ssuulan pendedahan itu, dengan gambar keluarga dan anaknya disebarkan secara meluas di media sosial.

“Nini sangat marah melihat orang masih melanggar SOP dan mengikut nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka.

“Ini satu lagi contoh dwistandard dalam penguatkuasaan sekatan PKP antara VIP dan rakyat marhaen yang disaman kerana tidak mematuhi peraturan.

“Nini harus dipuji atas kesedaran siviknya, bukannya dicerca penyokong MB Kedah,” katanya Guan Eng.

Setiausaha Politik Pemimpin PAS Kedah itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden melalui laporan media sebelum ini mendakwa dakwaan Nini merupakan satu fitnah.

Nini dilapor berdepan serangan di media sosial


Muhammad Sanusi katanya hanya berhenti sebentar untuk membeli makanan berdekatan pusat jualan dan pameran Jenama Ford di kawasan itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan yang penting.


"Menteri Besar hanya pergi melihat kereta itu bukan nak beli kerana hanya berminat," katanya sambil mendakwa tiada sesi pandu uji seperti didakwa Nini.

Walau bagaimanapun kemudian, Muhammad Sanusi tampil dengan kenyataan bahawa beliau tidak memandu kenderaan Ford jenis Raptor itu, sebaliknya hanya duduk di dalam kereta di sebelah jurujual.

Polis kini dilapor sedang menyiasat dakwaan pelanggaran SOP oleh Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu. 
 
 



Post a Comment

0 Comments