ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) menyifatkan cadangan menamakan inidividu lain selain Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sebagai usaha memecahbelahkan gabungan blok pembangkang itu.
Ketuanya, Nasrullah Mohd Nasir berkata, tindakan tersebut amat mencurigakan, ia umpama 'sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau' mestilah dijauhkan dalam gabungan itu.
"Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali," kata Ahli Parlimen Johor Baharu itu.
Akmal sebelumnya menyampaikan ucapan dasar dalam persidangan tahunan AMK dengan tema 'Mendukung Prinsip, Mempertahan Demokrasi' pada kongres parti itu yang diadakan baru-baru ini.
Sebagai rekod, kongres tersebut kemudian menerima arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya ditangguhkan.
Sementara itu, perwakilan Melaka Remy Lim Wee Han ketika sesi perbahasan ucapan dasar Akmal berkata parti perlu menolak kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
“Suka saya ingatkan kepada pucuk pimpinan parti agar berwaspada dengan Dr Mahathir. Dia juga baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) tidak mahu bekerjasama dengan HARAPAN.
"Jadi apa lagi yang mahu pimpinan HARAPAN ingin harapkan daripada beliau? Dia sepatutnya sudah bersara tetapi apa motifnya untuk terus aktif... pastinya ada udang di sebalik batu,” katanya.
Perwakilan Pahang Ahmad Saifullah Razali yang mewakili AMK Pahang pula menyenaraikan lima dalil mengapa tiada kerjasama dengan Mahathir perlu diadakan.
“Pertama ialah Tun Mahathir telah mengkhianati perjanjian dengan tidak menyerahkan kuasa pemerintahan kerajaan PH kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kedua, Tun Mahathir tidak memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi, ketiga beliau merupakan beban kepada mana mana parti yang akan beliau sertai.
“Keempat, Tun Mahathir mempunyai sejarah meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua-ketua parti komponen PH dan kelima Tun Mahathir tidak lagi mempunyai idealisme, wawasan dan visi yang jelas untuk terus menjadi pemimpin politik dalam negara,” katanya dipetik.
Perwakilan Terengganu Yuslaini Azmi berkata AMK konsisten dengan pendirian yang tidak akan bersetuju sekiranya ada pihak lain yang ingin menamakan semula Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
“Kita tidak mahu perkara yang sama berulang lagi dan AMK sentiasa konsisten dalam menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” katanya.
AMK tolak kerjasama dengan Tun M |
Dalam masa sama beliau berharap agar golongan anak muda AMK yang berpotensi perlu segera dikedepankan terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 bagi meneruskan kelangsungan perjuangan parti itu.
0 Comments