Agong sekali lagi bertitah 'adakan sidang Parlimen dengan segera'


YANG DI-PERTUAN AGONG, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dilapor sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Pandangan itu disampaikan melalui kenyataan disiarkan di Facebook Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ahmad Fadil Shamsuddin setelah Baginda menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Rais Yatim dan Azhar Harun di Istana Negara hari ini.
 
“Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan dan Parlimen Malaysia.

“Ini bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya kenyataan itu.

Baginda turut berpandangan bahawa semua jawatankuasa pilihan Parlimen ke-14 hendaklah meneruskan sesi mesyuarat pelaksanaan mekanisme semak dan imbang bagi menjamin tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab, khususnya dalam menangani isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya,” tambah kenyataan itu lagi.

Pada 16 Jun, selepas mempengerusikan pertemuan khas dengan raja-raja Melayu, Agong bertitah agar Parlimen bersidang “secepat mungkin”.

Rais dan Azhar mengeluarkan kenyataan pada 25 Jun bahawa Parlimen sedang mengkaji persidangan secara hibrid, dan memerlukan masa untuk membuat persediaan.

Di sebalik kenyataan Rais dan Azhar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata kerajaan belum memutuskan sama ada persidangan Parlimen akan berlangsung secara fizikal atau hibrid, dan kenyataan speaker Parlimen itu hanyalah cadangan sahaja.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengkritik alasan tersebut dan menggesa supaya Parlimen segera bersidang.

Beliau mempersoalkan mengapa sekarang, setelah Seri Paduka bertitah agar Parlimen bersidang mereka mahu mengkaji mekanisme tersebut.

"Jika baru nak kaji kaedah pelaksanaan, apa yang mereka buat sepanjang lebih enam bulan Parlimen tidak bersidang dalam tempoh darurat?" soal beliau.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini mendakwa ada usaha sistematik sedang digerakkan bagi melengahkan sesi Parlimen walaupun Agong baru-baru ini bertitah agar persidangan diadakan segera.

Agong bertitah adakan sidang Parlimen segera
Bercakap di laman Facebooknya, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata, usaha itu turut menggunakan Pejabat Peguam Negara dan Pejabat Speaker Parlimen.

Sementara itu dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak yang berusaha mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin,.

Baginda turut serta menyeru rakyat untuk mendoakan kesejahteraan negara dan agar wabak Covid-19 dapat dibendung segera.
 

Post a Comment

0 Comments