KEMPEN #BenderaPutih yang digerakkan rakyat merupakan bukti jelas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kebajikan rakyat terutama ketika Perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Shazni Munir Mohd Ithnin.
Dipetik laporan media, Shazi berkata bahawa kempen bertujuan memberikan sokongan dan bantuan kepada isi rumah yang hilang pendapatan itu menunjukkan yang rakyat sudah tidak lagi mampu menanggung kesan wabak Covid-19.
Mereka jelasnya sudah tidak lagi mengharapkan kerajaan membantu mereka.
Pelan bantuan yang tidak menyeluruh dan situasi yang diburukkan dengan kelembapan agihan bantuan kerajaan menyebabkan rakyat tertekan daripada aspek ekonomi dan mental yang akhirnya menyebabkan rakyat tidak lagi mengharapkan bantuan daripada kerajaan.
“Kadar kematian daripada kejadian bunuh diri melonjak naik sejak pelaksanaan PKP yang sudah memakan masa hampir dua tahun.
“[...] Kempen yang ditularkan ini adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan gagal memberikan tumpuan terhadap kebajikan rakyat semasa pelaksanaan PKP.
“Kerajaan terlalu sibuk mencari pelbagai alasan dan peluang untuk terus mengekalkan kuasa tanpa ada sekelumit perasaan simpati terhadap masyarakat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Tular di media sosial sejak semalam kempen #BenderaPutih. Kempen itu menggesa pihak yang terputus bekalan makanan untuk menaikkan bendera putih di rumah masing-masing sebagai isyarat kepada orang lain untuk menghulurkan bantuan kepada mereka.
Antara pesanan yang turut disertakan ialah agar rakyat tidak mengambil tindakan drastik dalam menghadapi kesulitan, di tengah semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak akhir-akhir ini.
Tidak jelas bagaimana atau bila kempen itu dimulakan, tetapi ia telah mendapat sambutan hangat dari rakyat Malaysia dengan disokong pemimpin politik pembangkang.
Walau bagaimanapun, tindakan beberapa pemimpin kerajaan terhadap kempen itu dikritik rakyat.
Tindakan Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memuatnaik poster kempen tersebut dengan di laman facebooknya hari ini dikecam ramai kerana dilihat cuba mengambil kesempatan menonjolkan diri melalui kempen itu sedangkan dia sendiri merupakan pemimpin dalam kerajaan dikepalai Mahiaddin Md Yassin yang didakwa gagal itu.
Ketua Wanita KEADILAN Johor, Napsiah Khamis dalam muat naik di Facebooknya dengan berkongsikan hantaran Zuraida itu berkata " Kau tu kerajaan.. duit banyak.. kau pun nak suruh angkat bendera, apa fungsi jabatan-jabatan lain?
"Bab hijack nombor 1, ini program rakyat, tak tahu malu ke?" soalnya. Kempen #BenderaPutih bukti PN gagal
Sementara itu, kenyataan Ahli Parlimen Bachok dari PAS, Nik Abduh Nik Aziz yang berkata rakyat tidak diajarkan mengalah dengan mengangkat bendera putih apabila berdepan ujian Allah turut dibidas.
Nik Abduh disifatkan gagal menyelami kesusahan dihadapi rakyat ketika ini dan manifestasi dari kempen tersebut.
0 Comments