Mahiaddin dan kerajaan PN tak tahu malukah? soal Anwar


DATUK
Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan apakah pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai sifat malu?

Ia susulan ketegasan Yang di-Pertuan Agong yang berulang kali menggesa agar sidang Parlimen diadakan segera.

Bercakap dalam satu siaran media secara maya di laman Facebooknya hari ini, Presiden KEADILAN itu berkata, pengulangan gesaan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah  adalah pandangan majoriti yang membuktikan baginda memahami penderitaan rakyat berbanding menteri dan pentadbiran PN termasuk Peguam Negara, Idrus Harun yang membuat kenyataan angkuh.

Malah, katanya, gesaan Agong supaya jawatankuasa pilihan Parlimen meneruskan sesinya sekarang sebagai proses semak dan imbang tidak pernah diadakan oleh kerajaan Mahiaddin Md Yasin.

"(Agong) lebih faham derita mereka (rakyat), kesukaran mereka dan tidak angkuh dan sombong seperti kita melihat jawapan demi jawapan yang dibuat oleh menteri-menteri dan pimpinan negara kita termasuk peguam negara, speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara.”

“Bayangkan, kerajaan tak rasa malu dan diaibkankah bila Agong terpanggil untuk beri gesaan sedemikian,” katanya.

Anwar turut menyifatkan apa yang berlaku hari ini memberi bayangan kepada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara dengan baik dan telus.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah  secara khusus menyentuh Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada parlimen untuk membatalkan proklamasi darurat dan ordinan darurat sekiranya parlimen bersetuju.

Justeru kata Anwar, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus mengambil langkah-langkah memanggil parlimen bersidang dengan segera.

Dalam siaran itu juga Anwar turut mengulas kempen #BenderaPutih yang digerakkan oleh rakyat.

Menurutnya, kempen tersebut telah menunjukkan betapa rakyat ketika ini berdepan kesempitan hidup walaupun hanya untuk mendapatkan makanan.

Walaupun kerajaan menurutnya mengumumkan pelbagai pakej bantuan setelah ditekan rakyat, namun ia terlambat dan tidak meringankan beban dihadapi rakyat

“Pelbagai pakej bantuan diperkenalkan…berapa banyak dah, tetapi semua itu pakej melingkup saja.

Mahiaddin dan k'jaan PN digesa berundur
“Pemerintah yang ada hanya jadi pelingkup negara dan rakyat. Sebab itu kita harus menggesa perubahan berlaku kerana kegagalan itu nyata
 
“Apa makna kepimpinan dan pengurusan kerajaan…sungguh aib, malang dan tragedi bagi rakyat yang terpaksa naikkan bendera putih untuk dapatkan bekalan makanan,” katanya sambil menggesa Mahiaddin dan kerajaan supaya bertanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus yang berlaku dengan berundur segera.

Post a Comment

0 Comments