AHLI PARLIMEN Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengkritik kelemahan kerajaan mengotakan janjinya untuk mengagihkan 150,000 komputer riba seperti dijanjikan dalam belanjawan sebelum ini.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN itu, laporan sebelum ini bahawa kurang daripada 13,000 komputer dihantar dalam tempoh masuk bulan keenam ini mencerminkan kelemahan kerajaan.
Justeru katanya, Menteri Pendidikan Radzi Jidin boleh dianggap gagal kerana penyerahan komputer riba itu hanya sebanyak 8.6 peratus.
"Kadar penyampaian itu tidak masuk akal. Sekiranya Radzi mengambil ujian, dapat 8.6 peratus, dalam SPM itu G, gagal," kata Fahmi dipetik Malaysiakini.
Pada akhir April, program Cerdik memaklumkan sekitar 13,000 peranti telah dihantar, sementara Bernama memetik Radzi mengatakan lebih daripada 13,000 komputer riba telah dihantar.
Program Cerdik sebelum ini juga mengatakan bahawa ia menyasarkan untuk 50,000 lagi pelajar mendapatkan peranti pada akhir Mei.
Bagaimanapun, semasa sidang akhbarnya semalam, Radzi mendedahkan bahawa sehingga hari ini sebanyak 12,887 komputer riba dan tablet telah dihantar ke 95 sekolah dengan 40,290 peranti lagi akan disalurkan kepada pelajar selewat-lewatnya pada 12 Jun, dan selebihnya akan dihantar pada bulan September.
Mengulas janji itu, Fahmi menyuarakan rasa ragu sekiranya kementerian dapat mematuhi garis masa tersebut, beliau membandingkannya dengan lambatnya pemberian vaksin di negara ini.Kementerian digesa cari mekanisme lain
"Mereka terus mengatakan bahawa ia akan diberikan, tetapi tidak," kata sambil menggesa Radzi dan Kementerian Pendidikan perlu memikirkan semula mekanisme penyampaian program Cerdik.
"Sama ada itu atau Radzi harus mengundurkan diri," tambahnya menurut laporan itu.
0 Comments