BEKAS Ahli Parlimen Kemaman dari KEADILAN, Abdul Rahman Yusof dilapor meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) hari ini.
Perkara itu dimaklumkan anak Allahyarham, Muhammad Muhsin di laman sosial Ketua Cabang KEADILAN Dungun itu petang tadi.
"Saya
ingin memaklumkan Ayah kami yang disayangi, Haji Abd Rahman Yusof baru
sahaja meninggal dunia kembali bertemu Allah penciptanya.
"Sesungguhnya
kami menjadi saksi Allahyarham adalah seorang yang soleh dan suka
menyambung silaturrahin. Allahyarham selalu membantu orang yang dalam
kesusahan dan orang yang memerlukan.
"Semoga Allah menerima
amal-amal soleh Allahyarham dan moga ia berterusan, Semoga Allah
menempatkan Allahyarham bersama kekasihNya di dalam Syurga," tulis kemas
kini di laman Facebook milik Allahyarham.
Allahyarham sebelumnya dilapor bertarung dengan penyakit barah tahap empat sejak enam bulan lalu.
Anak Allahyarham turut berkongsikan kekuatan ditunjukkan ayahnya dalam mengharungi ujian tersebut.
"Allahyarham tidak pernah putus asa dengan rahmat Allah, dan Allahyarham pergi dengan penuh ketenangan.
"Seorang pejuang sehingga ke akhir hayatnya," tulis catatan itu lagi.
Untuk
rekod, Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim itu merupakan anak jati Kuala Terengganu.
Anak ke 6
daripada 16 adik beradik itu mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan
dan Sekolah Menengah Tengku Bariah Kuala Terengganu.
Sekitar
tahun 80an beliau melanjutkan pelajaran ke dua buah universiti di
Amerika Syarikat didalam bidang perakaunan, pemasaran, kewangan dan
pentadbiran perniagaan seterusnya membina kerjaya profesional perbankan
dan sektor korporat.
Susulan peristiwa reformasi pada 1998, Abdul
Rahman terjun ke arena politik untuk berkhidmat kepada rakyat dengan
ilmu, kepakaran dan pengalaman yang ada.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999, beliau mewakili KEADILAN bagi mencabar kerusi Parlimen Kemaman.
Sebagai rekod, tiada mana-mana parti politik berjaya mengalahkan Umno di kerusi tersebut sehingga ia dimenangi Allahyarham.
Di laman sosial, kenalan Allahyarham turut menyatakan rasa bersedih
atas pemergian Allahyarham yang disifatkan seorang yang sangat baik
itu.
Sementara itu Anwar dalam kemas kini di laman Facebooknya
turut menyatakan rasa sedih atas pemergian Allahyarham yang
disifatkannya sebagai seorang teman baiknya.
Disifatkan ramai sebagai seorang yang baik |
0 Comments