KERAJAAN Pulau Pinang memberi pilihan dan alternatif kepada pihak masjid atau surau di negeri itu untuk menganjurkan solat Aidilfitri secara penggiliran.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dipetik laporan Bernama berkata, langkah itu bagi membolehkan lebih ramai jemaah menunaikan solat sunat itu.
Namun tegasnya, ia perlu dilaksana dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Pihak masjid serta surau perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan antaranya kehadiran hanya 50 orang sahaja bagi masjid dan 20 orang bagi surau mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi setiap sesi,” katanya dipetik.
Beliau berkata sesi pertama bermula solat sunat itu adalah pada 8.30 hingga 9.15 pagi, diikuti 9.45 hingga 10.30 pagi (sesi kedua) dan 11 hingga 11.45 pagi (sesi ketiga).
Proses sanitasi akan dilakukan sebelum setiap sesi solat bermula.
Berbanding negeri ditadbir DAP itu, solat sunat Aidilfiti di masjid dan surau di seluruh negeri Terengganu pula dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah lelaki sahaja, tidak termasuk ahli jawatankuasanya.
Di Melaka, solat sunat Aidilfitri hanya dibenar dilaksanakan di masjid dan surau yang diberi kebenaran solat Jumaat, serta surau yang mendapat kebenaran khas dengan jawatankuasa masjid atau surau berkenaan perlu melantik petugas bagi memastikan pematuhan SOP.
Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis pula dirancang akan dilaksanakan di tanah lapang dengan pengawasan pihak masjid berhampiran bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Negeri Sembilan membenarkan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri di semua masjid dan surau di negeri itu dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti ruang solat serta pematuhan penjarakan fizikal.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dipetik laporan Awani berkata surau walau bagaimanapun perlu membuat permohonan di pejabat agama daerah masing-masing bagi tujuan itu.
![]() |
Buka peluang orang ramai laksana solat sunat |
Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, pelaksanaan solat sunat berkenaan boleh dibuat di rumah kediaman masing-masing dengan diimamkan ketua keluarga.
0 Comments