Pesawat pengintip Israel: sikap diam diri menteri Umno dan PAS dikritik


PEMUDA
Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan sikap berdiam diri menteri PAS dan Umno dalam isu pesawat Israel yang berada dalam ruang udara negara seperti dilapor baru-baru ini.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin yang mempersoal keberadaan pesawat prototaip pengintip jenis Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) itu berkata, kehadiran pesawa itu wajar ditentang terutama dasar dan polisi  kerajaan yang tidak mengiktiraf kuasa imperialisme itu.

"Namun kalau itu pun gagal difahami, malah diberikan segala mak nenek justifikasi untuk berlembut pula akhirnya, amatlah malang keadaannya bagi kerajaan yang gemar bermuka-muka ini.

"Lantas ingin ditanyakan soalan terakhir, di mana menteri PAS dan Umno? Tunduk kepada MCA kah?" katanya dalam kenyataan.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengesahkan bahawa sebuah pesawat Israel telah melintasi ruang udara Malaysia pada Selasa lalu.

Tambah kenyataan itu lagi, kelulusan penerbangan diruang udara Malaysia diberikan selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara berdasarkan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggotanya.

Pesawat itu dilapor berlepas dari dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura.

Sementara itu, Shazni mempertikai penjelasan MOT yang diketuai Presiden MCA, Wee Ka Siong itu seakan-akan membayangkan negara tidak boleh langsung menghalang mana-mana pesawat dari negara anggota ICAO, asalkan ‘tidak mengancam keselamatan dan kedaulatan negara’.

Beliau membandingkan ketegasan Indonesia pada 2017 yang menghalang pesawat Israel melalui ruang udara mereka.

"Apakah ketika itu negara berkenaan (Indonesia) bukan anggota ICAO?

"Tidakkah (Perdana Menteri) Muhyiddin Yassin dan para menterinya ini tahu betapa resahnya rakyat apabila mendapat tahu pesawat Israel dengan senang-lenangnya boleh melintas ke ruang udara negara, ketika beberapa hari sebelumnya rakyat Malaysia memberikan sokongan yang jitu kepada perjuangan rakyat Palestin?" kata Shazni.

Israel pada bulan lalu dikecam susulan tindakannya menyerang penduduk Palestin, Warganet turut bertindakan meninggalkan komen kecaman mereka terhadap keganasan itu di laman Facebook Israel bagi mendesak serangan tidak berperikemanusian itu dihentikan. Malaysia tidak terkecuali mengecam tindakan rejim zionis itu.

Walau bagaimanapun susulan perkembangan terbaru ini, Shazni mempersoalkan apakan kerajaan bersikap 'bermuka-muka' dan hanya mengecam Israel 'sekadar di mulut'.

"Akibat terbiasa bermuka-muka itulah yang akhirnya tanpa rasa bersalah telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara negara.

"Kalau pun mahu bersangka baik bahawa pesawat itu tidak mengancam keselamatan negara, tidakkah berwaspada dengan tidak membenarkan itu jauh lebih baik?" katanya sambil menggesa pihak kerajaan untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut mengkrtik kehadiran pesawat itu di ruang udara negara.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyifatkan kenyataan MOT mengenai justifikasi membenarkan pesawat itu melalui ruang udara Malaysia sebagai amat mengelirukan.

 Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan Israel
Tegasnya, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel dan memiliki hak untuk menutup akses ruang udara serta sempadannya kepada mana-mana entiti Israel.

"Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai komitmen keselamatan untuk menghadapi ancaman daripada Israel, khususnya setelah rakyat Malaysia mempamerkan solidariti luar biasa ke atas warga Palestin baru-baru ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Justeru, ABIM turut menggesa kerajaan untuk bertindak lebih tegas bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Bukan setakat Pemuda Harapan dan ABIM, isu tersebut turut mendapat perhatian bekas menteri pengangkutan Anthony Loke dari DAP.

Katanya, isu tersebut pasti akan dihebohkan jika ia berlaku di saat dia masih memegang jawatan itu.

"Bayangkanlah kalau kejadian ini berlaku semasa HARAPAN memerintah dan saya masih memegang jawatan menteri pengangkutan - tentu heboh satu Malaysia kan?

"Tak dengar pula suara-suara lantang sekarang?" soalnya ringkas di Facebook.

Post a Comment

0 Comments