PERBICARAAN kes rasuah mebabitkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi akan bermula di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada pagi ini.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dipetik laporan Bernama berkata, pihak pendakwaan dijangka memanggil dua atau tiga saksi untuk memberi keterangan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa.
“Ya, bicara akan berjalan esok. Pihak kami dijangka memanggil dua atau tiga saksi,” kata Raja Rozela yang akan mengetuai pasukan pendakwaan ketika dihubungi agensi berita itu.
Zahid yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berdepan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
33 pertuduhan dihadapinya ialah menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.
Ahli politik berusia 68 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018 mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri telah mendapatkan untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi dirinya.
![]() |
Zahid berdepan 40 pertuduhan terima rasuah |
Ia merupakan perbicaraan kedua dihadapinya selepas kes 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
0 Comments