Anwar persoal mengapa M'sia lewat terima vaksin dari China


KETUA
Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempersoalkan kelewatan penghantaran vaksin Covid-19 dari China.

Beliau berkata Malaysia telah membeli 15 juta dos vaksin yang diperbuat di negara itu tetapi setakat ini hanya menerima satu juta dos - iaitu tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan pesanan.

Ia tegasnya berbeza dari laporan sebelum ini yang menyatakan Malaysia akan diberi keutamaan untuk akses vaksin Covid-19 yang dibangunkan negara itu.

Sambil membandingkan dengan negara lain, Anwar berkata negara seperti Thailand, Indonesia dan Kemboja masing-masing telah menerima 59, 48 dan 32 peratus daripada pesanan vaksin dari China, yang juga termasuk vaksin Sinovac dan Sinopharm.
 
"Mengapa begitu teruk keadaan di Malaysia?

"Apakah perdana menteri sibuk sangat tak boleh hubungi China untuk minta supaya (penghantaran vaksin) disegerakan? Padahal kalau kita lihat, Menteri Luar China Wang Yi telah beri keutamaan kepada Malaysia ketika kunjungannya (ke Malaysia pada Oktober lalu)," kata Presiden KEADILAN itu dalam siaran langsung di laman Facebooknya semalam.
 
Setakat ini, kerajaan menggunakan tiga vaksin - Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan mengapa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) belum meluluskan penggunaan Sinopharm.

Sedangkan kira-kira 42 negara telah meluluskan penggunaan vaksin itu, antaranya Argentina, Brunei, Kemboja dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Sampai sekarang kalau ikut kenyataan (pihak kerajaan) ia belum terima kelulusan.

"Saya anggap ini kelembaban dan kegagalan, ini kerajaan gagal, sehingga rakyat terkorban akibat kecuaian, kelemahan dan keangkuhan (mereka)," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.

Anwar anggap kerajaan PN gagal
Difahamkan, sebanyak 10,000 dos vaksin itu dijadual tiba di Malaysia pada bulan ini tetapi ia Malaysia belum meluluskan vaksin tersebut untuk digunakan.

Melalui siaran langsung itu juga Anwar mengingatkan bahawa kerajaan boleh menguatkuasakan sebanyak mana kawalan pergerakan, tetapi tegasnya penularan wabak ini tidak akan dapat dikekang jika ia tidak diiringi dengan ketelusan data dan program vaksinasi yang baik.
 

Post a Comment

0 Comments