MAJLIS PRESIDEN Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa kerajaan dipimpin Muhyiddin Yassin agar mempertimbangkan pelaksanaan “strategi tunda dos kedua” Program vaksinasi.
Saranan itu dibuat bagi menangani isu peningkatan mendadak kes Covid-19, dan dipercayai mampu melindungi bilangan maksimum rakyat dalam jangka masa singkat sekaligus menyelesaikan isu kekangan bekalan vaksin yang dihadapi Malaysia.
Melalui satu kenyataan Majlis Presiden berkata, strategi itu juga digunakan United Kingdom (UK) sejak Nov 2020 dan ia kini dilaksanakan negara lain termasuk Singapura dan India.
“Walaupun kerajaan berulang kali memberi jaminan Malaysia mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi, namun kelewatan pemberian vaksin menunjukkan sebaliknya.
“Terdapat kekurangan bekalan vaksin yang nyata dan kesannya ternyata dengan melihat trend yang membimbangkan di seluruh negara.
"Keutamaan kami pada saat ini mestilah untuk melindungi semaksimum rakyat dalam jangka masa yang singkat.
"Dengan mengakui kekurangan dos vaksin pada peringkat ini, rintangan boleh diatasi dengan menunda sementara pemberian dos kedua,” kata majlis itu.
Gesaan mereka turut disertakan hujah sains. Contoh penyelidikan terbaharu oleh Universiti Birmingham dengan kerjasama Kesihatan Awam England yang mendapati pemberian vaksin Pfizer BioNTech booster 12 minggu selepas dos pertama berbanding dengan tiga minggu menghasilkan tindak balas antibodi yang jauh lebih kuat.
“Penyelidik dari Universiti Oxford juga mendakwa pada Feb bahawa ketika pemberian dos kedua vaksin mereka ditunda selama 12 minggu, tindak balas antibodi dilaporkan lebih dua kali ganda dibandingkan dengan normal,” menurut kenyataan itu.
Majlis itu juga berkata, kerajaan perlu menerima hakikat ini dan menyedari bahawa wujud keperluan yang sangat mendesak untuk melaksanakan strategi yang terbukti secara saintifik ini.
"Kita mesti menerima hakikat ini dan menyedari bahawa ada keperluan sangat mendesak untuk kita melaksana strategi yang terbukti secara saintifik ini.
![]() |
Masih ramai belum dapat suntikan vaksin |
“Kerajaan seolah-olah tidak tahu dan tidak cekap dalam menanggapi perubahan pesat dalam situasi pandemik terkini,” menurut kenyataan itu lagi.
Kenyataan tersebut ditandatangani bersama oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
0 Comments