PEMIMPIN politik senior, Lim Kit Siang mempersoal sikap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikepalai Muhyiddin Yassin yang dilihat cuba 'menutup mulut' berhubung isu campur tangan politik dalam pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Dipetik laporan media, Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, pendedahan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador pada Jumaat lalu sama dengan campur tangan dalam kehakiman pada 2007.
Tambahnya, berbanding kerajaan hari ini, Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi, sekurang-kurangnya bertindak segera dengan memutuskan untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) selepas perkara itu didedahkan.
"Sidang media Abdul Hamid Jumaat lepas mengingatkan rakyat Malaysia berkenaan episod video VK Lingam pada 2007 yang membawa kepada penubuhan RCI.
"Kini apa yang menghalang Muhyiddin daripada membuat perkara yang betul untuk negara ini, apabila dia patut tahu RCI perlu ditubuhkan segera (untuk siasat pendedahan Abdul Hamid) demi kepentingan negara?" soalnya.
Dalam sidang media terakhirnya, Hamid menyasarkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana menurutnya masuk campur dalam pelantikan pegawai polis.
Beberapa hari sebelumnya, timbul rakaman audio invdividu berbincang tentang pelantikan "orang kita" dalam pasukan polis.
Hamzah kemudian mengaku beliau adalah seorang individu dalam rakaman itu, namun menegaskan tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Sebagai rekod, video VK Lingam adalah rakaman seorang peguam kanan dirakam berbincang dan cuba mengatur pelantikan hakim mahkamah di negara ini.
Sementara itu Kit Siang mempersoalkan apakah dalam kerajaan Muhyiddin tiada mana-mana wakil rakyat yang berani menggesa supaya RCI bagi menyiasat pendedahan Abdul Hamid diadakan.
![]() |
Adakah kabinet dipenuhi Pak angguk |
"Dua hari sudah berlalu dan Muhyiddin kekal membisu. Bila dia akan mengulas kenyataan Abdul Hamid yang mengejutkan itu?" soalnya lagi.
0 Comments