Mana janji Muhyiddin bantu OKU, soal ADUN


SEORANG pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan janji dibuat Muhyiddin Yassin sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang memberi jaminan akan menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sebulan.

Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, sudah hampir lapan bulan Muhyiddin berjanji mahu meningkatkan elaun bulanan itu namun tidak ada sebarang tindakan setakat hari ini.

Faiz yang merupakan Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional menggesa Muhyiddin mengotakkan janjinya dan tidak sekadar menjadikan apa yang dijanjikan itu hanya gula-gula pilihanraya.

“Dalam keadaan ekonomi hari ini, kenaikan elaun RM1,000 sangat relevan terutama dapat mengurangkan beban ramai penerima elaun JKM seperti Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, pesakit terlantar dan sebagainya.

“Memandangkan kadar inflasi negara dijangka meningkat agak mendadak dalam bulan-bulan akan datang, kerajaan harus memastikan rakyat bersedia menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya.

Dipetik laporan Media, Muhyiddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilapor mengusulkan kenaikan bantuan bulanan tersebut. Menurutnya ia  usaha membantu golongan B40 merupakan aspirasi kerajaan di bawah pimpinannya.
 
Bantuan bulanan kepada penerima JKM pada masa ini sekitar RM200 dan RM300.

Faiz sementara itu menggesa agar kerajaan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi bersasar untuk kumpulan individu seperti Orang Kurang Upaya (OKU), miskin bandar, ibu tunggal, belia menganggur, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

PN tegasnya tidak boleh lagi menunggu ekonomi negara pulih dengan sendirinya, tetapi perlu terus proaktif menyokong proses pemulihan.

Tambah AdDUN Permatang Pasir itu lagi, walaupun darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan lebih tiga bulan lalu, namun masih tiada apa-apa pengumuman berkaitan pakej rangsangan ekonomi baharu oleh kerajaan PN.

“Bukan itu sahaja, pakej rangsangan ini harus memberi tumpuan terhadap individu-individu yang terlibat dalam sektor informal, kerana mereka ini selalunya terlepas daripada liputan banyak inisiatif kerajaan.

Kenaikan elaun sangat relevan kata Faiz
“Ramai pakar ekonomi menganggarkan PKP akan terus melemahkan proses pemulihan ekonomi negara. Berkemungkinan, sasaran kadar pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 6.5 peratus hingga 7.5 peratus untuk tahun ini tidak dapat dicapai.

“Kerajaan PN perlu bertindak segera memastikan kebajikan dan sosio ekonomi rakyat terbela dan bukan hanya membela kepentingan politik dengan membayar elaun puluhan lantikan politik dalam Kabinet dan GLC,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments