LHDN fail notis kebangkrapan terhadap anak Najib Razak


ANAK
lelaki bekas Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Mohd Najib menerima notis kebankrapan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana kegagalan melunaskan cukai pendapatan berjumlah RM37.6 juta.

Peguam Wee Yeong Kang,yang mewakili Mohd Nazifuddin dipetik laporan Bernama berkata notis berkenaan telah diserahkan kepada anak guamnya pada 30 April lepas.

Pihaknya bagaimanapun telah memfailkan afidavit untuk membantah notis kebankrapan itu pada 6 Mei lalu.

"Mohd Nazifuddin juga akan memfailkan satu lagi permohonan untuk mengetepikan notis itu dan bagi menangguhkan prosiding kebangkrapan sebelum 9 Jun ini.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 21 Jun," katanya selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-Review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Ida Rahayu Sharif,  semalam.

Mengikut dokumen yang difailkan, kerajaan melalui LHDN memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lepas terhadap Mohd Nazifuddin.

Notis berkenaan menyatakan Mohd Nazifuddin,38, perlu membayar RM37.6 juta dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 6 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM1.1 juta serta kos RM10,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM38,758,370.93.

Notis terhadap Nazifuddin difahamkan dikeluarkan pada hari sama notis kebankrapan dikeluarkan terhadap Najib Razak.

Najib menurut media perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Untuk rekod, pada 6 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mohd Nazifuddin perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau memfailkan rayuan.
 
Selain Najib dan Nazifuddin, Ahli keluarga bekas Presiden Umno itu yang berdepan tuntutan cukai ialah anak perempuannya Nooryana Najwa

Nooryana didakwa gagal menyerahkan Borang Nyata Cukai Pendapatan Individu kepada LHDN di bawah Seksyen 77 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran dari 2011 hingga 2017.

LHDN sebagai plantif menuntut defendan sejumlah RM10,335,292.36; faedah berjumlah RM10,335,292.36 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman kepada tarikh pelaksanaan, kos dan bayaran lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Manakala Rosmah Mansor yang merupakan isteri bekas presiden Umno itu berdepan lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Notis diserahkan pada 30 April lalu
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Difahamkan, kesemua kes terhadap mereka masih berjalan.