MUHYIDDIN YASSIN mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” Fasa Pertama tahun ini di seluruh negara.
Dalam kenyataan, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali ekonomi dan perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tempoh penutupan itu adalah untuk tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
"Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri petang tadi telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.
"Sepanjang tempoh ini, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa 'total lockdown' berkenaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama bermula 1 hingga 14 Jun.
Jelasnya, sekiranya 'lockdown' fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan 'lockdown' fasa kedua yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.
'Lockdown' fasa kedua itu dijangka akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.
Hanya setelah fasa kedua selama empat minggu itu berakhir, kerajaan akan kembali menguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan ketika ini, di mana aktiviti sosial masih tidak dibenarkan meski hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi mengikut SOP.
"Walau bagaimanapun, keputusan untuk beralih dari satu fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sebagai rekod, Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin menerima tekanan dari pelbagai pihak setelah dianggap gagal memastikan kadar jangkitan turun.
Beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan sebelum ini dilihat tidak mampu mengawal peningkatan kes berkaitan wabak itu.
Malah, Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan berkata, pelaksanaan darurat yang diusahakan kerajaan turut dianggap gagal membendung penularan wabak itu.
Walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius.
“Kes harian Covid-19 melonjak sejak darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup.
![]() |
Bakal berkuatkuasa pada 1 Jun hingga 14 Jun |
Jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes apabila sebanyak 8,290 kes dilaporkan hari ini. 72,823 kes aktif dilaporkan .
Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat. Jumlah keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia untuk tempoh sama adalah sebanyak 549,514.
0 Comments