K'jaan digesa umum bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank


KERAJAAN
dikepalai Muhyiddin Yassin digesa segera mengumumkan pakej bantuan khas termasuk moratorium pinjaman bank kepada rakyat susulan pengumuman ‘total lockdown’ bermula 1 Julai ini.

Tiga pemimpin pemuda dari KEADILAN, Umno dan Amanah berkata, pakej bantuan khas itu penting susulan banyak pihak akan terjejas dengan penutupan sektor ekonomi dan sosial bagi tempoh dua minggu itu.

Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin dipetik laporan media berkata, kerajaan harus berhenti memberi alasan bahawa pelaksanaan moratorium akan menjejaskan bank-bank yang terlibat.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) itu juga menegur Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya tidak hanya mengutamakan kepentingan bank-bank, sebaliknya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB dan CEO CIMB Bank itu seharusnya berasa empati dengan rakyat yang bergelut setiap bulan untuk membayar ansuran kereta, rumah serta pinjaman lain.

“Jangan bagi alasan kerajaan tak ada duit, sebab rakyat takkan percaya. Hentikan segera projek-projek dan perolehan yang tak perlu dan membazir," katanya dipetik  Malaysiakini.

Berkongsi pandangan sama,Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerajaan sewajarnya mengurangkan beban rakyat dengan mengumumkan segera moratorium automatik.

“Juga bantuan khusus untuk anak-anak muda yang terikat dengan komitmen kewangan seperti pinjaman pelajaran, pinjaman rumah pertama (terutamanya yang masih dalam pembinaan) dikecualikan caj faedah sepanjang tempoh moratorium,” katanya dipetik.

Penutupan penuh diumumkan Muhyiddin akan dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama berakhir pada 4 Jun.

Sekiranya 'lockdown' fasa pertama berjaya mengurangkan kes-kes harian Covid-19, kerajaan akan melaksanakan 'lockdown' fasa kedua yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

'Lockdown' fasa kedua itu dijangka akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas fasa pertama berakhir.

Hanya setelah fasa kedua selama empat minggu itu berakhir, kerajaan akan kembali menguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) seperti yang dilaksanakan ketika ini, di mana aktiviti sosial masih tidak dibenarkan meski hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi mengikut SOP.

Menteri mesti empati nasib rakyat marhaen
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, banyak sektor ekonomi terjejas sepanjang penutupan selama dua minggu itu.

Sehubungan itu Asyraf mahu i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dilaksanakan,

Beliau turut menuntut agar arahan khas menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat untuk mengarahkan institusi bank dan kewangan memberikan Moratorium 2.0 selama 3-6 bulan tanpa caj tambahan dikuatkuasakan.

Post a Comment

0 Comments