Nurul Izzah Gesa MKN Tangani Kluster Perindustrian Secara Serius


AHLI PARLIMEN Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera menangani kluster perindustrian secara serius.

Melalui satu kenyataan, pemimpin terkenal dengan jolokan 'Puteri Reformasi' itu turut menuntut supaya keselamatan serta kebajikan pekerja kilang di negara ini dilindungi.

Beliau membuat gesaan itu susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini yang menyatakan kebimbangan peningkatan jumlah kes Covid-19 membabitkan sektor perkilangan setelah mendapati sektor tersebut mencatatkan jumlah bilangan kluster tertinggi berbanding subkategori lain iaitu sebanyak 46%.

"Meskipun prosedur operasi standard (SOP) ‘Safe@Work’ telah diperkenalkan oleh MITI bagi mencegah penularan wabak Covid-19 membabitkan sektor perkilangan, namun pelaksanaannya haruslah dikuatkuasakan dengan tegas tanpa dwistandard.

"Penularan Covid-19 di sektor perkilangan harus diurus dengan cekap bagi mengelakkan rantaian kluster berpanjangan tanpa putus," tegasnya dalam kenyataan.

Nurul Izzah merujuk laporan bahawa sepanjang 7 hari berturut-turut, 12 kluster perindustrian dicatatkan; berpunca daripada jangkitan di kilang industri yang dibenarkan terus beroperasi tanpa pelaksanaan SOP yang ketat.

Beliau turut memetik laporan Sosioekonomi Pulau Pinang 2019, 309,900 pekerja di Pulau Pinang terlibat dalam sektor perkilangan.

"Sekiranya 60% daripada sektor tersebut dipaksa terus bekerja (menurut laporan – kebanyakan syarikat mendesak pekerjanya terus hadir ke kilang) bagaimanakah mereka dari sektor yang mendominasi kluster tertinggi tempat kerja mampu melaksanakan ‘lockdown’ kendiri bagi mengekang penularan wabak ini?

"Tanggungjawab ni bukan hanya terletak kepada pekerja, malahan juga majikan, pihak pengurusan dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"MKN juga hendaklah memastikan pekerja-pekerja – semuanya – dijaga kebajikan serta keselamatan mereka, manakala pihak pengurusan sektor pekilangan dan pembuatan perlu mematuhi SOP tanpa memilih bulu serta pangkat pekerjanya sama ada pekerja tempatan / pekerja asing.

Disamping itu tambahnya, saringan secara menyeluruh di dalam kilang perlu dilakukan tanpa membebankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Beliau turut membangkitkan isu kesesakan asrama-asrama dan tempat tinggal yang disediakan untuk pekerja kilang juga menyaksikan ketidakpatuhan penjarakan sosial, selain ketiadaan ruang pengaliran udara yang cukup.

Majikan juga perlu mainkan peranan


"Situasi ini amat membimbangkan bukan sahaja buat kontak rapat pekerja-pekerja kilang, bahkan lokasi pekan-pekan atau bandar yang terdekat terutamanya apabila kontak-kontak rapat yang negatif namun perlu dikuarantin terpaksa keluar bagi membeli barangan keperluan kerana tiada bekalan makanan yang disediakan daripada pihak pengurusan kilang.

"Akhirnya keadaan tersebut akan menyebabkan penularan dan merisikokan keselamatan pekerja kilang dan juga penduduk tempatan," tegasnya lagi.

Post a Comment

0 Comments