HARAPAN sokong 'total lockdown', tapi ada tujuh syarat


PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) menyambut baik dan menyokong keputusan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial fasa pertama bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Meskipun bersikap konstruktif dengan keputusan itu, Jawatankuasa ditubuhkan gabungan itu berhubung Kos Hidup menuntut tujuh syarat untuk dilaksana seiring dengan perintah penutupan penuh itu.

"Persetujuan ini kami capai dengan syarat-syarat berikut yang perlu dipenuhi oleh pihak kerajaan," tegas mereka dalam satu kenyataan ringkas.

Syarat-syarat tersebut ialah kerajaan perlu memberi bantuan 'one-off' kepada golongan B40 dan M40.

Selain itu mereka menuntut supaya moratorium pinjaman bank dilaksanakan untuk tempoh 3 bulan, ia bagi meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggu orang ramai yang pendapatan mereka terjejas susulan penutupan penuh itu.

"“Kami juga mencadangkan kerajaan melaksanakan rebat bagi bil elektrik Tenaga Nasional Berhad," kata mereka.

Mereka turut mendesak supaya kerajaan memastikan bekalan barangan keperluan harian mencukupi selain menjamin harga barangan keperluan tidak meningkat sehingga akhirnya akan membebankan rakyat.

Dalam kenyataan itu juga mereka mahu kerajaan agar dapat memastikan bahawa penghantaran barangan keperluan sepanjang tempoh penutupan penuh itu kedestinasi tidak terhalang.

Bagi meringankan beban orang ramai, mereka turut menuntut kerajaan memastikan bantuan berupa bakul makanan disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

HARAPAN tuntut 7 langkah ringan beban rakyat


Untuk rekod, Jawatankuasa Kos Sara Hidup HARAPAN itu dianggotai Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim; Datuk Hassanuddin Mohd Yunus (Ahli Parlimen Hulu Langat; Choong Chien Jen (Ahli Parlimen Stampin).


Ia turut dianggotai Natrah Ismail (Ahli Parlimen Sikijang); Sivakumar Varatharaju Naidu (Ahli Parlimen Batu Gajah); Chan Foong Hin (Ahli Parlimen Kota Kinabalu) dan Cha Kee Chin (Ahli parlimen Rasah).