USAHA untuk memerangi rasuah di negara ini perlu bermula dengan menghukum jerung-jerung besar, tegas Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap dalam satu program di Rembau, Negeri Sembilan pada Khamis berkata, ia perlu bagi menjadi satu pengajaran supaya hal sama tidak lagi berlaku.
Tambahnya, sekiranya kerajaan hanya mengambil tindakan terhadap watak-watak kecil, ia akhirnya akan dianggap sebagai gimik dan sandiwara semata-mata.
“Namun pasti usaha ini akan diselubungi kontroversi. Tentunya seseorang yang punya kekayaan berpuluh bilion tidak akan berdiam diri apabila disiasat dan akan menggunakan segala pengaruhnya untuk melawan.
“Tetapi jika kita berhenti bertindak kerana pengaruhnya, maka tidak layak kita menjadi pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga negara. Risiko perlu dihadapi kerana utamanya adalah negara mesti diselamatkan,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menambah, negara ini memerlukan satu anjakan yang ketara menerusi dasar-dasar yang digariskan di bawah gagasan Madani untuk memperbetulkan kebobrokan sistem pentadbiran yang berlaku sejak sekian lama.
“Anjakan ini perlu bermula dengan membina semula tatakelola yang baik serta semangat menolak rasuah. Kerana itu kerajaan ini sedaya upaya menoktahkan budaya mengizinkan kuasa dan sistem pemerintahan dijadikan kesempatan memunggah kekayaan untuk tokoh-tokoh tertentu.
“Justeru, saya mohon dukungan rakyat untuk bersama-sama berpegang pada prinsip ini. Moga usaha ini membersihkan negara daripada amalan bobrok, sekali gus mengangkat martabat Malaysia,” katanya.
0 Comments