PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengehadkan eksport minyak kelapa sawit dan memperuntukkan sekurang-kurangnya sehingga 15 peratus daripada hasil pengeluaran bagi keperluan tempatan.
Gesaan itu disuarakan Anwar susulan rungutan orang ramai berhubung kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi terutama dalam pek di pasaran.
Melalui satu rakaman yang di kongsikan di laman Facebooknya pada Selasa, Anwar menyarankan langkah pengehadkan eksport itu dikenakan terhadap syarikat pembekal yang mempunyai keuntungan besar hasil perniagaan mereka.
Beliau mengambil contoh sebuah syarikat yang menurutnya mencapai keuntungan sebanyak RM2.26 bilion pada tahun lalu.
"Apakah tidak mungkin 10 peratus daripada pengeluaran diturunkan tetapi keuntungan (syarikat berkenaan akan) lebih rendah daripada keuntungan dicatat (itu) kalau disamakan dengan harga pasaran antarabangsa.
"Tetapi, apakah kepimpinan negara berani berdepan dengan syarikat-syarikat gergasi ini? Sebab itu di Parlimen saya pernah bertanya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan menteri-menteri mewakili siapa?
"Mewakili rakyat bawahan, saudagar-saudagar atau korporat besar?," katanya.
Media sebelum ini melaporkan kesukaran pengguna untuk diperolehi minyak masak sehingga terpaksa membeli minyak masak dalam botol yang lebih mahal.
Keputusan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak dalam botol menambah kesulitan yang dialami pengguna.
Dalam masa serupa, media turut melaporkan berlaku penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
Sinar dalam laporan mereka berkata, terdapat rakyat di Thailand mendakwa mereka sudah lebih 30 tahun membesar dengan minyak masak dari Malaysia.
Sementara itu, Anwar ketika mengulas tekanan ekonomi dihadapi rakyat turut menyentuh mengenai harga ayam yang naik melambung tinggi dan sukar diperolehi sebelum ini.
Beliau merasa aneh apabila masalah bekalan yang berlaku sebelum ini tiba-tiba pulih setelah kerajaan mengumumkan harga siling baharu.
"Agak aneh bila harga siling naik RM9.40, tidak lagi timbul masalah masalah ayam di pasaran. Sebab itu, kerajaan ini patut dipimpin oleh orang yang ada pendirian, berani, tidak tunduk kepada pedagang-pedagang dan penghisap darah," tegasnya.
Menurutnya, sekiranya kerajaan berani, langkah pertama yang harus dilakukan adalah dengan mencari sumber pengeluar ayam tersebut bagi melihat sama ada ia disorok atau tidak.
![]() |
Jadi menteri kena berani lawan kapitalis |
"Sebab itu saya katakan kita memilih pimpinan politik yang cakap berdegar-degar tetapi tidak berani menghadapi masalah bila menyentuh pedagang-pedagang kaya," ujarnya.
0 Comments