K'jaan Muhyiddin gagal, Majlis Presiden gesa tamatkan darurat


KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Muhyiddin Yassin digesa segera menamatkan  darurat setelah langkah itu dianggap gagal menangani penularan wabak Covid-19.

Gesaan itu dibuat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam.

Gabungan itu berkata, mereka merasa amat risau dengan peningkatan mendadak kes-kes positif Covid-19 di hampir setiap negeri yang kini mencecah lebih 7,000 kes tiga hari berturut-turut, disamping jumlah katil ICU yang semakin tidak mencukupi untuk menghadapi kes-kes kritikal.

Malah kadar kematian yang tinggi disebabka nwabak itu juga tegas mereka bukti serius PN menangani penularan Covid-19 meski diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar.

"Walau diberi kuasa penuh untuk melakukan segala ikhtiar dan upaya, jelas kuasa Darurat ini tidak berjaya mengekang penularan wabak COVID-19 sebaliknya keadaan menjadi jauh lebih serius.

“Kes harian Covid-19 melonjak sejak darurat diisytiharkan dan Parlimen ditutup.

"Tanpa kebertanggungjawaban, ketelusan dan proses semak imbang telah memburukkan pandemik ini.. jelas menunjukkan kegagalan kerajaan PN untuk menangani wabak dengan sendirinya.

“Sekatan pergerakan kendiri politik ini sebenarnya untuk menyelamatkan PN yang kehilangan majoriti," kata Majlis Presiden.

Kenyataan bersama itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiusaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Darurat berkuatkuasa pada 11 Januari 2021.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan lebih 541,000 kes dengan jumlah kematian menghampiri angka 2,500 orang. Sementara jumlah kes aktif pula setakat tempoh sama adalah sebanyak 69,408 kes.

Negara kini diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Sementara itu dalam kenyataan serupa, Majlis Presiden menegaskan bahawa mereka mengambil maklum kemarahan rakyat terhadap isu Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang mengelirukan, sering bertukar-tukar atau “U-turn”, dan penguatkuasaan ‘Antara Dua Darjat’ berbeza di antara VIP dan rakyat biasa.

Mereka turut mempersoal kegagalan kerajaan mencapai kadar pemberian vaksin seperti yang dijanjikan termasuk isu kekurangan bekalan serta isu pendaftaran yang menyukarkan rakyat.

"Oleh itu, Majlis Presiden menegaskan melalui wakil Pakatan Harapan di dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat bahawa Darurat ini bukan sahaja tidak perlu dipanjangkan lebih dari 1 Ogos 2021, malahperlu ditamatkan segera.

 Darurat dianggap gagal kekang penularan wabak


"Parlimen harus bersidang segera untuk memulihkan demokrasi. Sekiranya Jawatankuasa Khas Bebas Darurat masih mendiamkan diri, Pakatan Harapan terpaksa mempersoalkan peranan dan fungsi wakil kami di dalam Jawatankuasa tersebut, atau apakah kehadiran wakil kami dijadikan sebagai “pelitup muka” untuk mengiakan segala penggunaan kuasa Darurat yang mengetepikan Parlimen.

"Strategi menangani Covid-19 sedia ada memerlukan penjajaran semula (realignment), dan Majlis Presiden telah mengarahkan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pakatan Harapan yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan segera bagi meneliti dasar-dasar yang diperlukan untuk menyelamatkan negara dari pandemik ini," kata kenyataan itu.


Post a Comment

0 Comments