SEORANG wakil rakyat dari Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, negara dapat membuat penjimatan besar sekiranya amalan melantik orang politik ke jawatan bukan eksekutif di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dihentikan.
Malah menurut Hassan Abdul Karim (HARAPAN- Pasir Gudang), langkah itu juga boleh meransang GLC untuk beroperasi lebih secara profesional dengan kakitangan yang mahir tanpa perlu campur tangan orang politik.
"Amalan yang ada sekarang adalah satu bentuk rasuah politik," katanya dalam kenyataan seperti dipetik laporan media.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas penamatan khidmat Pengarah Pilihan Raya Umno Malaysia, Tajuddin Abdul Rahman, daripada Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).
Sementara itu tegas beliau, tugas dan tanggungjawab seseorang Ahli Parlimen yang tidak menganggotai kabinet ialah menjadi penggubal undang-undang sepenuh masa.
![]() |
Bukan kerja orang politik jaga GLC |
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap GLC sudah ada pegawai eksekutif yang dibayar gaji tinggi untuk menjalankan operasi syarikat terbabit dan tidak ada keperluan menambah beban kewangan entiti itu dengan melantik orang politik.
"Bayangkan berapa ratus juta - malah mungkin bilion ringgit - dapat diselamatkan setiap tahun sekiranya jawatan-jawatan bukan eksekutif ini dilupuskan?
"Bukan hanya jawatan pengerusi bukan eksekutif Prasarana sahaja yang perlu dilupuskan tetapi kepada banyak lagi dalam GLC lain seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Felcra, Felda, Risda, Lembaga Tabung Haji, Syarikat Perumahan Negara, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi.
"Biarkan orang profesional yang layak, bermerit dan berintegriti menjalankan operasi GLC tersebut," jelas peguam itu lagi.
0 Comments