BEBERAPA pertubuhan pengamal media hadir ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKKM) di Putrajaya hari ini.
Dipetik laporan media, kehadiran mereka adalah bagi menyatakan kegusaran mereka terhadap situasi kebebasan media di negara ini dibawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Bersempena dengan hari kebebasan media antarabangsa yang disambut hari ini, kumpulan terbabit menuntut kepada kerajaan agar memberi penekanan kepada enam perkara, antaranya semakan penggunaan undang-undang untuk mendiamkan media.
Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah G Naidu berkata terdapat peraturan lapuk masih digunakan sejak beberapa tahun lalu, malah masih ada undang-undang menekan media serta wartawan masih diguna pakai.
Wathshlah merujuk beberapa undang-undang antaranya Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 serta beberapa yang lain.
“Seringkali undang-undang itu digunakan sebagai tekanan kepada media apabila sisi negatif kerajaan ditonjolkan,” katanya selepas penyerahan memorandum di ibu pejabat KKKM di Putrajaya hari ini.
Selain CIJ, kumpulan media yang turut terlibat dalam penyerahan memorandum itu adalah Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).
Selain itu tuntuan lain yang dibuat perubuhan wartawan itu ialah penyediaan dana daya tahan media, mempercepatkan proses vaksin kepada petugas media dan menjamin kebebasan akses kepada semua media.
![]() |
Tahap kebebasan media M'sia menggusarkan |
Untuk rekod, pada pertengahan bulan lalu, penarafan Malaysia dalam alam Indeks Kebebasan Media Dunia 2021 jatuh mendadak sebanyak 18 tangga.
Jatuh dari tempat ke-101 pada 2020 ke tempat ke-119 tahun ini, ia dianggap sebagai kemerosotan paling teruk dari tahun ke tahun.
Reporters Without Borders (RSF) yang menerbitkan laporan itu berkata, antara faktor utama yang menyebabkan kemerosotan ini termasuk undang-undang mengekang berita palsu melalui Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No. 2) 2021 yang “membenarkan kerajaan untuk menentukan kebenarannya sendiri”.
ia juga mengambil kira pendekatan kerajaan Muhyiddin menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (kini Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM) yang dipercayai bagi menjalankan kerja-kerja propaganda politik.
RSF turut merujuk kepada beberapa akta yang menyekat kebebasan media, termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap beberapa agensi media dalam dan luar negara.
0 Comments