Anwar teruskan 'cita-cita 1997' jika HARAPAN kembali jadi K'jaan


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahawa gabungan itu sedia menjadikan agenda memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipilih menjadi kerajaan.

Tegas Anwar, usaha memperkasakan SPRM amat penting bagi menyelamatkan negara ini daripada terus terdedah dengan amalan rasuah pemimpin yang mengaut kekayaan berlebihan tanpa persoalan dan tindakan.

Dipetik wawancara bersama akhbar Sinar, mantan Timbalan Perdana Menteri pada lewat tahun 90-an itu turut memberi contoh bagaimana usaha melawan rasuah dapat memajukan sesebuah negara.

“Kalau kita lihat Hong Kong tahun 60-an dan 70-an merupakan daerah yang paling korup di Asia.

“Hong Kong dikawal oleh kumpulan Taipan dan gengster. Tetapi dalam tempoh 10 tahun, amalan rasuah dapat dibersihkan," jelasnya sambil menegaskan SPRM wajar diberi puruntukan dan ruang seluasnya untuk bertindak bebas.

Dalam wawancara itu Anwar berkata bahawa usaha memperkukuh SPRM telah dicadangkan beliau pada tahun 1997 ketika berada dalam kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun dakwanya, isu melawan rasuah itu akhirnya menjadi sebab beliau ditekan pada ketika itu.

Dalam wawancara itu juga Anwar membidas pihak-pihak tertentu yang masih menganggap fungsi SPRM kini sebagai sudah bebas. Sedangkan menurutnya badan itu bertanggungjawab di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Yalah...yang duduk dalam kerajaan dan pembangkang, menteri ada, bekas menteri ada, bekas Timbalan Perdana Menteri ada, bekas Perdana Menteri pun ada. Kita tahulah jawapan itu (SPRM bebas) tidak munasabah. Tidak cukup.

“Oleh kerana pemimpin lakukan rasuah tanpa persoalan dan tindakan, busuknya di kepala ikan, yang lain terus menjalar sampai ke bawah.

“Jadi, saya setuju kita harus mengambil langkah perkukuh institusi ini, bebaskan mereka dan berikan satu pendirian yang cukup jelas bahawa tindakan yang keras dan maksimum akan diambil,” katanya.

Sementara itu Anwar turut membidas apa-apa usaha menjadikan Suruhanjaya itu sebagai senjata politik pihak berkepentingan.

Mengulas apa yang didakwanya sebagai pendakwaan terpilih, Anwar mengecam tindakan menghukum pemimpin yang menentang kerajaan dan sebaliknya melepaskan ahli politik yang menyokong mereka dari pertuduhan yang dikenakan sebelumnya.

 Hapus rasuah mampu buat negara maju
“Kalau seseorang pemimpin KEADILAN, masuk parti lain (sokong kerajaan) maka beliau dilepaskan, Kalau tidak sokong, beliau didakwa.

"Jadi kita hendak yakinkan rakyat macam mana yang kita ini menentang rasuah? Orang rasuah yang berada di keliling kita, tidak apa...dimaafkan,” kata dipetik wawancara itu.

Post a Comment

0 Comments