PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) mencadangkan tiga strategi kepada kerajaan untuk mempercepat proses vaksinasi Covid-19 di Malaysia.
Cadangan itu dikemukakan kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin ketika kadar pemberian vaksin dilihat tidak mencapai jangkaan awam ditengah-tengah peningkatan angka jangkitan.
Melalui satu kenyataan, Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 HARAPAN mengemukakan strategi pertama untuk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mempercepat proses penilaian dan pelulusan vaksin, terutama yang telah diluluskan Pertubuhan Kesihatan Dunia dan pihak berkuasa kesihatan di luar negara.
Ini kerana pada masa ini difahamkan, hanya tiga vaksin yang diluluskan di Malaysia, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.
Manakala vaksin yang masih dalam penilaian NPRA adalah Sputnik V dari Russia dan Cansino dari China.
"Proses birokrasi yang keterlaluan dan tidak efisien perlulah diatasi dan pada masa yang sama menjaga kebebasan proses kajian untuk memastikan kelulusan yang cepat dan tepat sambil menjaga keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut," kata jawatankuasa itu sambil menegaskan bahawa proses penilaian NPRA boleh dipercepat dengan bantuan agensi seumpamanya yang cekap dari negara lain.
Cadangan kedua oleh jawatankuasa itu adalah agar kerajaan meluaskan memperluas pemilihan vaksin, antaranya yang dikeluarkan Moderna dan Johnson & Johnson.
Mereka turut menggesa agar kerajaan mula berunding dengan syarikat vaksin yang sudah di tahap ujian terakhir, seperi Sinopharm dan Novavax.
"Kerajaan tidak harus berhenti mendapat bekalan vaksin lain melihat pilihan-pilihan vaksin yang dipunyai semasa, kerana syarikat farmasi telah menetapkan keutamaan mereka kepada negara-negara kaya.
"Malaysia mampu membeli vaksin pada atau atas harga pasaran untuk menjamin penghantaran vaksin awal seperti taktik yang digunakan oleh UAE dan Israel tahun lepas," kata jawatankuasa dipengerusikan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad itu.
Selain Dr Dzulkefly, jawatankuasa itu turut dianggotai bekas timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye (Gopeng), Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching), Dr Mohd Hatta Ramli (Lumut), Dr Ong Kian Ming (Bangi) dan Sim Tze Tzin (Bayan Baru).
Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud , Dr Norlela Ariffin (Exco Kesihatan Pulau Pinang) dan Veerapan Supramaniam (Exco Kesihatan Negeri Sembilan) turut sama menganggotai jawatankuasa itu.
Sementara itu, strategi ketiga yang dicadangkan jawatankuasa adalah dengan membenarkan kerajaan negeri dan kemudahan perubatan swasta mendapatkan vaksin dan memberikannya kepada pelanggan yang sanggup membayarnya.
![]() |
Kemuka cadangan percepat perolehan vaksin |
"Kerajaan kemudiannya akan dapat menggunakan sumber yang terhad untuk menumpukan usaha untuk memberi vaksin penduduk yang lain," kata mereka.
0 Comments