K'tan digesa guna wang sumbangan k'jaan HARAPAN untuk bantu rakyat


KERAJAAN negeri Kelantan dikuasai PAS diminta menjelaskan status  wang sumbangan oleh kerajaan Pusat bernilai RM400 juta yang diberikan Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Muhammad Husain dipetik Malaysia dateline sebagai berkata, jika wang tersebut belum digunakan inilah masa terbaik untuk ia digunakan kerana rakyat negeri itu sangat memerlukan bantuan sekarang.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan sudah hampir dua bulan, rakyat semakin susah hilang sumber pendapatan, tiada alasan lagi untuk Kerajaan Kelantan tidak mahu guna wang RM 400 juta itu beri dalam bentuk pakej bantuan kepada rakyat,” kata Muhammad.

Beliau sebelumnya menyatakan rasa simpati kepada nasib majoriti rakyat Kelantan terutama dari golongan bekerja sendiri kategori B40 yang terjejas teruk pendapatan mereka akibat PKP.

HARAPAN pada era pemerintahannya telah menyalurkan bantuan ‘one-off' itu kepada kerajaan PAS kelantan.

Wang pemberian kerajaan HARAPAN itu bertujuan membantu meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Kelantan dan Menteri Besar, Ahmad Yakob, berkata surat khas mengenai bantuan berkenaan diterima pada 17 Disember 2020 sebelum wang dimasukkan pada 25 Disember tahun yang sama.

Sementara itu tambah Muhammad Husain, penggunaan wang bantuan yang diterima dari zaman HARAPAN itu untuk pakej bantuan kepada rakyat berdepan PKP tidak akan jejaskan kewangan negeri.

“Jadi kita minta Kerajaan PAS Kelantan usah beri alasan tiada duit, wang RM400 juta itu mungkin masih ada kerana kita tidak dengar sebarang pengumuman dari kerajaan negeri untuk guna wang itu sebelum ini, bermakna wang one off itu masih tidak terjejas,” desak beliau lagi.

“Sampai bila nak disimpan wang yang diterima secara percuma itu?” tanya beliau kepada Kerajaan negeri.

Difahamkan sehingga kini, Kerajaan PAS Kelantan masih tidak menjelaskan kedudukan wang one off itu sama ada sudah habis digunakan atau masih ada dalam simpanan.

K'jaan Kelantan digesa bantu rakyat


Media sebelum ini melaporkan tindakan kerajaan negeri Kelantan mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan EXCO.


Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah kemudian tampil menegaskan bahawa pembelian kereta mewah itu tiada kaitan langsung dengan peruntukan khas sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Pusat, sebaliknya menggunakan duit kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments