PENJELASAN Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkenaan sebab Malaysia tidak diundang ke Sidang Kemuncak Pemimpin Berkenaan Iklim mengundang kritikan.
Klima Action Malaysia, NGO yang memberi tumpuan terhadap isu perubahan iklim dalam hantaran di Twitternya berkata mereka kecewa dengan penjelasan Timbalan Presiden PAS itu.
"Rantau Asia Tenggara akan terjejas teruk. Kesannya sudah pun dapat dirasai.
“Kalau ikutkan logik anda (Tuan Ibrahim), kenapa Filipina pun tidak dijemput, mereka dilanda taufan lebih kuat tahun lepas.
“Kemarau, gelombang haba, kerpasan lebat (hasil pemeluwapan wap air atmosfera ke bumi seperti hujan dan salji), banjir - kejadian cuaca ekstrem telah menyebabkan kerugian dan kehancuran di pelbagai sektor, seterusnya menjejaskan kehidupan orang di negara ini,” kata NGO itu lagi di Twitter.
Tuan Ibrahim sebelumnya mengulas soalan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berhubung kenapa Malaysia disisihkan daripada persidangan kemuncak di Amerika Syarikat (AS) itu dengan berkata Malaysia tidak diundang kerana ia bukan termasuk dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara.
Guan Eng sebelum ini menyifatkan adalah malang untuk Malaysia tidak diundang ke persidangan tersebut berbanding negara Vietnam di rantau ini.
Selain Vietnam, persidangan itu turut dilapor menjemput negara jiran Singapura dan Indonesia. Ia akan diadakan secara atas talian sempena Hari Bumi menjelang Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow pada Nov ini.
“Malangnya, sebagai salah seorang pemimpin parti yang berwarna hijau, Tuan Ibrahim merugikan negara dengan prestasi buruk dalam memupuk dasar hijau sehingga Malaysia dilihat sebagai jauh lebih rendah daripada Vietnam,” katanya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan itu lagi, penyisihan Malaysia daripada sidang kemuncak itu mengesahkan bahawa negara ini dilihat lebih sebagai tempat pembuangan sampah plastik berbanding rakan strategik isu alam sekitar.
"Sungguhpun berkali-kali dinafikan oleh Tuan Ibrahim, kerajaan PN sebenarnya mengizinkan Malaysia perlahan-lahan menjadi tempat pembuangan sampah AS untuk sampah plastik 'bersih'.
![]() |
M'sia dianggap gagal pertahan reputasi |
Sebelum ini Tuan Ibrahim membuat kenyataan mengejutan berhubung kehadiran dua buah kontena yang tiba di Pelabuhan Klang pada 27 Mac dari Amerika Syarikat yang mengandungi barang dagangan sisa plastik.
Ibrahim Tuan Man yang dipetik laporan media berkata sisa plastik tersebut adalah bersih, homogenous dan memenuhi kriteria seperti mana yang telah disyaratkan dalam lesen import sisa plastik (Approved Permit, AP) kepada pengimport.
Dibawah pentadbiran HARAPAN, menterinya sebelum ini langkah tegas dengan menghantar pulang 150 kontena sisa plastik dengan anggaran berat 3,737 tan metrik ke negara asal bagi mengelakkan negara ini menjadi 'tong sampah' dunia.
0 Comments