KENYATAAN bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu kerjasama antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan "pramatang dan dangkal."
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syukri Razab berkata, ini kerana Anwar sebelum ini telah berkali-kali menafikan kerjasama partinya bersama pemimpin kleptokrat Umno dan isu itu sepatutnya tidak ditimbulkan lagi.
Lebih teruk tegasnya lagi, serangan oleh Syed Saddiq itu mirip serangan dilancarkan 'laskar murahan PN' terhadap Anwar.
"AMK merasakan terjahan Syed Saddiq terhadap Anwar ini amat pramatang dan dangkal setelah Anwar berulang kali menyatakan bahawa tidak wujud sebarang usaha rasmi seperti yang didakwa.
“Secara terbuka juga presiden KEADILAN telah menegaskan bahawa yang ada hanyalah sekadar pertemuan-pertemuan tidak rasmi bersama kepimpinan daripada pelbagai parti dalam rangka usaha Pakatan Harapan mengambil alih semula tampuk kepimpinan kerajaan daripada kerajaan pintu belakang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga merupakan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menegaskan keenganan pihaknya untuk bekerjasama dengan Anwar sekiranya anggota parlimen Port Dickson itu benar-benar menjalinkan kerjasama bersama Umno.
“Nada kenyataan Syed Saddiq ini juga sangat seiring dengan kenyataan beberapa pemimpin PN yang cuba menyerang Anwar melalui isu yang sama.
“AMK percaya ini adalah langkah terdesak untuk menggagalkan usaha Anwar membentuk semula kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN),” kata Syukri lagi.
Dalam pada itu beliau turut menyindir Syed Saddiq agar kekal komited menolak sebarang kleptokrasi, merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
![]() |
AMK bidas kenyataan 'dangkal' Syed Saddiq |
“Hanya kerana Mahathir tidak pernah didakwa oleh mana-mana mahkamah, tidak bermakna sejarah pentadbirannya yang dikotori dengan pelbagai pencabulan demokrasi boleh dipadamkan begitu sahaja,” tegasnya lagi.
0 Comments