KUMPULAN hak asasi mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus menyekat suara masyarakat sivil dalam tempoh tahun pertama menjadi kerajaan.
Dakwaan itu dibuat Artikel 19 dan Civicus dalam satu laporan yang diterbitkan mereka yang dipetik portal berita FMT.
Menurut laporan kumpulan itu, kerajaan pimpinan Muyhiddin Yassin gagal memansuhkan atau mereformasi undang-undang yang membatasi kebebasan bersuara, perhimpunan dan persatuan yang aman.
Sebaliknya kata mereka, kerajaan Muhyiddin mengambil tindakan terhadap pengkritik, aktivis dan wartawan.
“Kerajaan PN sangat berahsia mengenai agenda perundangannya tetapi jelas berhubung niat untuk terus menggunakan undang-undang penindasan yang disasarkan kepada pengkritik dan pembangkang,” kata Nalini Elumalai, pegawai program Malaysia Artikel 19.
Laporan itu memetik, 66 kes dalam tahun pertama PN di mana orang awam disiasat atau didakwa bawah Akta Hasutan 1948 atau Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, menggambarkan kesediaan kerajaan untuk melumpuhkan hak mereka yang berani bersuara.
“Dalam banyak kes ini, tertuduh adalah pembela hak asasi manusia atau pemimpin masyarakat sivil,” katanya sambil menegaskan bahawa persekitaran yang sihat untuk wacana awam tidak boleh dicapai sehingga perbezaan pendapat dan pandangan yang tidak popular dihormati dan dilindungi bukannya disenyapkan.”
Akta Pertubuhan, menurut Nalini lagi terus menghalang hak mendapatkan kebebasan berpersatuan, seperti ditunjukkan oleh halangan yang dihadapi parti pembangkang Pejuang dan Muda dalam usaha mendaftar secara rasmi “berbanding dengan pendaftaran segera PN itu sendiri “.
![]() |
Artikel 19 gesa laksana segera reformasi |
Sehubungan itu, Artikel 19 terus mendesak agar reformasi perundangan dan institusi yang komprehensif dilaksanakan. Ia tegas mereka bagi memastikan memastikan hak masyarakat sivil terus terpelihara.