KEADILAN pandang serius kenyataan menteri PAS


KETUA
Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menempelak alasan diberikan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan  berhubung keputusan kerajaan PN untuk tidak memanggil sidang Parlimen.

Tegas Shamsul, demokrasi berparlimen di negara ini sepatutnya diraikan dan bukan direncatkan dengan alasan tempang.

"Beralasan mengambil kira faktor kesihatan dan terdapat ramai ahli parlimen berusia emas adalah alasan dangkal yang mencacatkan demokrasi.

"Wakil-wakil rakyat merupakan kumpulan pertama penerima Vaksin Covid-19. Sehubungan itu alasan kebimbangan berkait penularan wabak Covid-19 adalah tidak relevan," tegasnya.

Terdahulu pada Rabu kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agung PAS yang kemudian dilantik sebagai menteri susulan pembentukan kerajaan Persekutuan melalui 'Langkah Sheraton'  berkata keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan Covid-19 dalam bangunan parlimen.
 
Ahli Parlimen Kota Bahru itu memaklumkan sebahagian Ahli Parlimen merupakan warga emas yang berusia 61 tahun ke atas dan berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Sementara itu Shamsul dalam kenyataannya berkata, KEADILAN memandang serius kenyataan Takiyuddin yang menyebut bahawa kerajaan memutuskan tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Kenyataan tersebut tegasnya secara jelas bercanggah dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Sehubungan itu, KEADILAN menggesa kerajaan segera memanggil sidang Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen mengambil bahagian dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Dalam perkembangan berkaitan,  Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan alasan kerajaan yang kononnya menggunakan sains dan data sebagai alasan untuk tidak mengadakan sidang sehingga 1 Ogos nanti.

Alasan Takiyuddin dianggap bercanggah titah Agong
Najib dalam catatan di Facebook mempersoalkan sekiranya bahaya untuk sidang Parlimen diadakan, bagaimana pula keputusan kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi, sekolah dibuka semula selain “membuat mesyuarat persediaan PRU di hotel” atau majlis untuk menerima akuan bersumpah Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin.