Jawapan Santhara menyakitkan hati - Prabakaran


AHLI Parlimen Batu, P Prabakaran dilihat masih belum berpuas haru dengan penjelasan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Santhara Kumar berhubung cuti selama 55 hari ke New Zealand.

Tegas Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kuala Lumpur itu, alasan itu tidak meyakinkan dan Santara juga belum menjelaskan beberapa isu utama.
 
"Pada masa negara sedang berdepan dengan beberapa krisis seperti Covid-19 dan krisis ekonomi, apakah rasional seorang timbalan menteri yang mempunyai tanggung jawab kepada rakyat dan negara untuk mengambil cuti selama 55 hari?

"Kita akur jika ambil cuti disebabkan kecemasan dan keselamatan tetapi alasan bercuti diberikan tidak begitu meyakinkan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut Prabakaran berkata, rakyat Malaysia telah membuat banyak pengorbanan sejak penularan Covid-19 termasuk terpisah dengan keluarga di kampung disebabkan rentas negeri yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Sebilangan dari mereka hanya berada beberapa kilometer dari sempadan negara. Ramai yang masih berada di Singapura,Thailand dan di Indonesia, tidak dapat pulang kerana mereka faham keputusan MKN serta kebanyakan mereka tidak mampu untuk membayar kos kuarantin.

"Alasan yang diberikan Santhara telah menyakiti hati beberapa individu dan menganggap ini satu keistimewaan atau 'double standard' antara rakyat biasa dan ahli politik," katanya lagi.

Santhara baru-baru ini menjelaskan memohon cuti selama 55 hari bagi melawat keluarga di New Zealand dan permohonannya telah disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pada 10 Disember lalu sebelum diluluskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin pada 18 Disember.
 
Sementara itu, Prabakaran turut membidas ugutan Santhara bahawa dia mahu mengambil tindakan terhadap Prabakaran yang didakwanya memfitnah.
 
"Sila nyatakan tuduhan dan fitnah tersebut secara terperinci. Timbalan menteri bercuti 55 hari di luar negara semasa negara dalam situasi darurat dan PKP adalah fitnah?

Penjelasan Santhara tidak memuaskan

"Rakyat tidak dapat berjumpa dengan Ahli Parlimen mereka semasa kawasan Parlimen anda dilanda banjir adalah fitnah? Mangsa kebakaran di Sentul Pasar, meminta untuk berjumpa dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan untuk menyatakan keluhan mereka adalah fitnah? Mana satu fitnah?

"Sekiranya ahli Parlimen ang bersuara dan mendedahkan salah laku seorang timbalan menteri adalah satu kesalahan yang harus disaman, saya bagi pihak rakyat bersedia menerima saman daripada beliau," kata Prabakaran seperti dipetik media.

Post a Comment

0 Comments