KETUA Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali didakwa seperti 'cacing kepanasan' kerana sudah merasa kedudukannya di Gombak tidak selamat.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata begitu susulan tindakan Azmin yang sanggup mengajak Umno kembali ke meja rundingan bagi membincangkan isu pembahagian 13 kerusi panas.
"Azmin mungkin baru sedar dari mimpi indah kemudian dia dapat tahu kedudukannya sudah tak selamat sebagai wakil rakyat. Sebab itulah, dia terpaksa merayu kepada UMNO untuk berunding pembahagian kerusi panas termasuk di Parlimen Gombak.
"Azmin tahu pada PRU15 nanti dia akan kalah di Gombak jika tak dapat undi daripada orang UMNO sebab pengundi Pakatan Harapan sudah sah akan tolak beliau," katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Tambah Nur Jazlan, faktor yang menyebabkan Azmin tidak yakin mampu mempertahankan Gombak ialah kerana pengundi kawasan itu mampu menilai kredibiliti dan kejujuran Azmin sebagai seorang pemimpin.
Sementara itu, Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, ahli UMNO sudah nampak sifat kepura-puraan pemimpin PN yang hanya mahu bekerjasama untuk mereka kekal berkuasa dan bukannya demi kesejahteraan bersama.
Jelas beliau, rakyat pula mula nampak bahawa kerajaan PN hanya bersifat sementara dan lebih beretorik dalam membela nasib mereka, sebaliknya hanya sibuk 'membeli' wakil rakyat supaya lompat parti serta menyokong perikatan berkenaan.
"Azmin kena tanya akar umbi UMNO adakah mereka sanggup berkompromi memberi laluan dan menyokong kepada ahli-ahli Parlimen yang pernah mengkhianati parti itu selepas PRU14 lalu.
"Rakyat pula sudah tahu tembelang kerajaan PN yang kononnya prihatin, namun sebaliknya sibuk berpolitik dan mencari sokongan ketika rakyat berdepan kesusahan akibat pandemik Covid-19," katanya.
Dipetik laporan itu, Nur Jazlan turut menasihatkan Mohamed Azmin supaya tidak lagi memikirkan rundingan dengan UMNO kerana keputusan parti sudah jelas untuk tidak bekerjasama dengan PN atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
![]() |
Rakyat sudah sedar tembelang PN, kata Nur Jazlan |
13 kerusi panas itu difahamkan ialah kerusi yang dimenangi atas tiket parti lain (UMNO) dan kemudian mereka pindah ke parti lain (Bersatu).
0 Comments