Oleh FAKHRURRAZI RASHID | Pengisytiharaan darurat masih
menjadi kontroversi dalam kalangan rakyat. Alasan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin untuk tidak membubarkan parlimen kerana Covid-19 telah
menimbulkan pelbagai persoalan.
Sama ada Muhyiddin cuba mengelak
ujian keabsahan di parlimen atau bukan, darurat ini dilihat orang awam
sebagai persiapan Perikatan Nasional (PN) untuk mengadakan pilihan raya
umum selepas ia berakhir.
Pergelutan di antara Umno dan PN
semakin kritikal. Situasi ini juga memberi gambaran awal akan berlakunya
pertindihan kerusi antara Umno, PAS dan Bersatu pada pilihan raya umum
(PRU) akan datang, khususnya di kerusi parlimen yang mempunyai majoriti
pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia.
Persoalannya, adakah
Umno akan memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di kerusi
parlimen parti itu yang 'dibawa lari' oleh bekas ahli mereka pada PRU
ke-14?
Parti mana yang akan mendapat kelebihan sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru antara Bersatu, Umno dan PAS?
Ketiga-tiga
parti yang membolehkan PN ini berdiri sekarang pernah bertembung pada
PRU lalu. Terdapat 47 daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung
menyaksikan pertembungan di antara Bersatu, PAS dan Umno.
Hanya
dua kerusi parlimen menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Umno
dan Bersatu, iaitu Kota Tinggi dan Pengerang di Johor.
Daripada
47 kerusi tersebut, Umno menang 30 kerusi, Bersatu 10 kerusi dan
selebihnya PAS. Untuk kerusi parlimen dengan 80 peratus pengundi Melayu,
Umno menang sebanyak 23 kerusi, PAS 7 kerusi dan Bersatu tiga kerusi.
Sukar tandingan kekuatan Umno
Bagi
kerusi parlimen dengan pengundi Melayu antara 60 hingga 79 peratus,
Umno dan Bersatu masing-masing mendapat tujuh kerusi dan PAS gagal
meraih walaupun satu kerusi.
Ini menunjukkan persaingan sengit Umno dan Bersatu berlaku di kerusi majoriti Melayu bawah 80 peratus.
Terdapat
dua kerusi parlimen yang mempunyai pertembungan di antara Umno dan
Bersatu pada PRU ke-14, iaitu parlimen Kota Tinggi dan Pengerang di
Johor yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu. Umno berjaya
mempertahankan kedua-dua kerusi itu dengan perbezaan margin 38.2 peratus
di Kota Tinggi dan 35.4 peratus di Pengerang.
Ini jelas
menunjukkan PAS tidak mempunyai pengaruh besar di kerusi parlimen yang
mempunyai pengundi Melayu bawah 70 peratus. Begitu juga Bersatu yang
sukar menandingi kekuatan Umno di kerusi parlimen majoriti Melayu
meskipun berjaya merampas kerusi tradisi Umno.
Pengaruh Umno
masih lagi kuat bertanding tiga penjuru antara Bersatu dan PAS. Maklumat
ini menjadi penunjuk awal mengapa Umno tidak akan memberi laluan kepada
Bersatu bertanding di kerusi-kerusi mereka, termasuk 11 kerusi parlimen
Umno yang telah 'dipindahkan' ke Bersatu seperti Larut, Hulu Terengganu
dan Jeli.
Umno akan menjadikan data ini sebagai alasan untuk
mereka bertanding sendiri pada PRU akan datang. Justeru, di manakah
Bersatu akan bertanding untuk nanti?
Umno akan menjadi penghalang
terbesar buat Bersatu di setiap kerusi-kerusi parlimen majoriti Melayu.
Formula Bersatu untuk bertanding lebih 50 kerusi parlimen seperti PRU
lalu tidak lagi relevan.
Untuk mengelak pertembungan tiga
penjuru, Umno, Bersatu dan PAS tidak boleh bertanding lebih 50 kerusi
parlimen di Semenanjung. Ada kemungkinan besar kerusi-kerusi tradisi
milik MCA, MIC dan Gerakan akan diambil Bersatu sebagai alternatif untuk
menambah jumlah kerusi berbanding Umno.
Tiada peluang cerah
Pada
PRU ke-14, MCA bertanding 39 kerusi parlimen di Semenanjung, MIC
sembilan kerusi, Gerakan 11 kerusi, dan MyPPP satu kerusi. Maka, Bersatu
akan mengintai peluang bertanding di 60 kerusi parlimen ini pada PRU
ke-15.
Perkara ini tidak mustahil memandangkan blok Azmin Ali
akan menggunakan formula Pakatan Harapan (HARAPAN) dan KEADILAN dengan
meletakkan calon Bersatu di parlimen campuran di kawasan bandar dan
separa bandar.
Prestasi buruk MCA dan MIC pada PRU ke-14 akan
menjadi faktor utama Bersatu untuk mereka meletakkan calon mereka di 60
kerusi BN tadi. Namun, sejauh manakah MCA dan MIC akan memberi laluan
kepada Bersatu? Adakah Umno juga akan cuba mendapatkan kerusi tradisi
MCA dan MIC?
Bersatu akan menempuh laluan yang sukar dan mungkin
tidak boleh mengelak pertembungan dengan BN (Umno, MCA dan MIC) di semua
kerusi parlimen Semenanjung. Maka memang Bersatu tidak ada peluang
cerah untuk bertanding secara selesa lagi seperti yang dialami mereka
pada PRU ke-14.
Situasi Bersatu akan menjadi lebih rumit apabila
pertembungan tiga penjuru berkemungkinan besar memberi kelebihan pula
kepada HARAPAN.
Daripada 47 kerusi parlimen yang menyaksikan
pertembungan tiga penjuru antara Umno, PAS dan Bersatu dulu, terdapat 24
kerusi parlimen yang dimenangi dengan perbezaan margin di bawah 10
peratus: Umno menang 14 kerusi parlimen, dan PAS serta Bersatu
masing-masing lima kerusi.
Kesemua 24 kerusi marginal itu juga
boleh menjadi sasaran untuk HARAPAN yang mahu melengkapkan kemenangan
sekurang-kurangya 112 kerusi parlimen di Semenanjung pada PRU akan
datang.
Faktanya, persaingan di kerusi-kerusi Melayu akan
hampir sama dengan kerusi campuran dan bukan Melayu pada PRU ke-15.
Tidak ada satu parti yang akan mendapat undi penuh daripada pemilih
Melayu.
Undi bukan Melayu pula akan menjadi penting untuk
menjamin kemenangan di kerusi majoriti Melayu di Semenanjung meskipun
jumlahnya kurang daripada 10 peratus.
Persoalannya, bolehkah
parti-parti yang berjuang berlandaskan platform perpaduan Melayu
semata-mata mengecapi kemenangan apabila PRU ke-15 diadakan nanti?
Besar
kemungkinan gabungan parti politik yang berjaya meyakinkan rakyat
Malaysia merentasi kaum ialah formula terbaik untuk menang. Formula
gabungan parti politik yang cuba membawa sentimen eksklusif untuk
sesuatu kaum akan berhadapan dengan masalah kerana persaingan terbuka
ini memerlukan undian setiap kaum untuk menjamin kemenangan.
![]() |
Masih relevankah parti perjuangan bangsa |
Situasi ini memberi peluang kepada HARAPAN untuk menang dan membentuk kerajaan sekali lagi pada PRU ke-15. Acuan HARAPAN yang mementingkan prinsip integriti, reformasi dan kepelbagaian kaum dilihat mampu memberi tawaran terbaik buat rakyat Malaysia untuk keluar daripada krisis politik, ekonomi dan kesihatan seperti dialami di bawah pemerintahan kerajaan minoriti PN.
Namun, sejauh manakah HARAPAN mampu bangkit semula untuk membentuk perpaduan pihak pembangkang menjelang PRU ke-15?
FAKHRURRZAI RASHID ialah penyelaras penyelidik Research For Social Advancement (Refsa).
Tulisan ini pertama kali disiar di Malaysiakini dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.
0 Comments