Naik kadar denda bakal bebankan rakyat miskin - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN) Anwar Ibrahim secara terbuka membantah cadangan kerajaan menaikkan kadar kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Dalam satu sesi perbincangan yang disiarkan di laman Facebooknya, Anwar berkata denda tinggi yang mahu dikenakan itu akan hanya membebankan golongan miskin.

"Nak ugut orang ramai yang miskin dengan RM1,000, nak tambah RM1,500.

"Semua bawa bencana baru kepada rakyat," jelasnya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu juga menyifatkan cadangan tersebut sebagai berat sebelah apabila ada pemimpin kerajaan tidak disiasat walaupun didakwa melanggar SOP.

"Pemimpin-pemimpin melanggar (SOP) dia (kerajaan) tak kekang dan rakyat dihukum.

"Saya fikir untuk pastikan penyeimbangan antara kesihatan, maknanya SOP harus ketat, bukanlah dengan hukuman yang lebih berat. ," katanya lagi.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dikecaman warganet apabila dikatakan melanggar sekatan perjalanan rentas negeri kerana menghadiri misi bantuan untuk mangsa banjir di Johor.


Azmin bagaimanapun berkata misi itu dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Manakala Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa turut dibidas selepas menyiarkan gambar dirinya bersenam di luar rumah bersama dua individu lain.

Sebagai rekod, SOP bagi perintah kawalan pergerakan (PKP) hanya membenarkan maksimum dua orang untuk berjoging di luar rumah dalam satu-satu masa.

Annuar kemudian menjelaskan dia kebetulan bertemu dua individu itu di tengah jalan.

Dalam kes membabitkan rakyat, lapan penduduk kampung dari Tenom, Sabah masing-masing didenda sebanyak RM1,000 selepas menaiki bas untuk membeli makanan dan ubat-ubatan di bandar.

Tindakan itu dikritik ramai, malah banyak pihak akhirnya tampil membantu menyelesaikan denda dikenakan terhadap lapan penduduk berkenaan.

 Tak adil sekiranya menteri tak dikenakan tindakan
Semalam Muhyiddin Yassin dalam sidang media yang tidak dihadiri wartawan berkata,  tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar SOP Covid-19.

Ia antaranya dengan mengenakan kadar kompaun yang lebih tinggi.
 

Post a Comment

0 Comments