Mahathir masih belum 'move on' , kata Kit Siang



PEMIMPIN veteran DAP, Lim Kit Siang tampil mengkritik kenyataan Dr Mahathir Mohammad yang cuba menyalahkannya kerana menyokong Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

Menurut Kit Siang, keputusan menyokong Anwar dipersetujui semua parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) setelah bekas Mahathir sendiri meletak jawatannya pada 24 Febuari tahun lalu.

"HARAPAN mencapai keputusan ini selepas Mahathir enggan untuk terus menjadi perdana Menteri HARAPAN dan enggan untuk mematuhi dan terikat dengan manifesto pilihan raya umum HARAPAN.

"Perlunya ada seorang perdana menteri HARAPAN dan sebuah kerajaan HARAPAN untuk mempertahankan dan menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.

"Amat malang sekali apabila Mahathir masih enggan untuk bertanggungjawab di atas kesilapan besar beliau apabila beliau meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sedangkan beliau masih mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen, daripada HARAPAN, Warisan, dan juga Bersatu," katanya.

Mahathir, dalam catatan blognya semalam mendakwa Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir negara ketika ini tidak akan berkuasa sekiranya Ahli Parlimen HARAPAN menyokongnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu turut mengaitkan Kit Siang sebagai punca dia gagal meraih sokongan majoriti.

"Saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator. Dia sokong Anwar sebagai calon (perdana menteri) HARAPAN.

"Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh 154 undi," kata Mahathir.

Untuk rekod, dalam pertemuan tertutup dengan para pemimpin HARAPAN, Dr Mahathir dilapor telah meminta maaf kepada mereka, mengakui bahawa peletakan jawatan itu adalah satu kesilapan.

Namun, Mahathir menegaskan bahawa dia "tidak ada pilihan" dan peletakan jawatan itu dibuat kerana percaya bahawa dia tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

 Tun M cuba menjadi perdana menteri sekali lagi
Namun, bekas sekutu terutama dari KEADILAN tidak senang dengan tindakan Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding dengan pucuk pemimpin HARAPAN.

Mereka percaya jika sekiranya Mahathir tidak mengundurkan diri, HARAPAN mempunyai masa untuk membuktikan majoriti dan mempunyai kekuatan untuk berunding.


 

Post a Comment

0 Comments