K'jaan DAP Pulau Pinang mula benar solat di masjid dan surau


MULAI
hari ini, Kerajaan Negeri DAP Pulau Pinang membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di negeri itu.
 
Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, selari dengan kelonggaran itu, kehadiran jemaah ditetapkan  mengikut keluasan ruang masjid atau surau terbabit.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang itu berkata, ketetapan itu merupakan antara prosedur operasi standard (SOP) terkini di masjid dan surau di negeri ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini.

“Bermula hari ini, solat fardu di masjid atau surau dibenarkan dengan kehadiran mengikut keluasan begitu juga dengan solat Jumaat dan ia (solat Jumaat) dengan minimum jemaah 40 orang, namun ia terbuka hanya untuk anak kariah, warga tempatan dan pemaustatin tetap sahaja yang berusia 12 hingga 70 tahun.

“Ruang solat untuk musafir, pemandu teksi atau pekerja e-panggilan turut disediakan di masjid atau surau supaya mereka dapat menunaikan solat fardu,” katanya dalam kenyataan.

ADUN Pinang Tunggal dari KEADILAN itu juga memaklumkan laungan azan akan kembali kepada lafaz biasa yang sebelum ini laungan azan di masjid digantikan dengan lafaz azan disebut ‘sollu fi buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).

Bagi solat jenazah dan urusan pengebumian pula katanya,  ia hanya dibenarkan kepada 30 orang sahaja yang terdiri daripada ahli keluarga dan pihak yang menguruskan pengebumian dengan solat jenazah perlu dilakukan di petak yang disediakan manakala aktiviti menziarah kubur masih tidak dibenarkan.

Pulau Pinang turut melonggarkan syarat untuk aktiviti keagamaan lain. majlis ilmu seperti kuliah maghrib, bacaan surah Yassin dan tahlil dibenarkan, namun ia hanya boleh dijalankan selepas solat maghrib hingga solat isyak sahaja.

“Bagi khutbah Jumaat pula, hanya khatib yang dfardu dilantik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang sahaja dibenarkan dan (khatib) perlu membaca teks yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) sahaja.

“Khutbah (Jumaat) perlu berlangsung dalam tempoh 10 minit…khatib jemputan tidak dibenarkan manakala untuk majlis ilmu, penceramah dari luar Pulau Pinang juga tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah di masjid atau surau di negeri ini,” katanya.

 Pulau Pinang benar solat di Masjid dan Surau
Sebelum ini, Pulau Pinang menangguhkan beberapa aktiviti di masjid dan surau negeri itu berikutan pelaksanaan PKP namun pada minggu lepas, solat fardu di semua masjid dan surau dibenarkan dengan maksimum 15 jemaah sahaja selain solat Jumaat pula antara 12 hingga 45 jemaah termasuk jawatankuasa kariah, pegawai masjid dan siak.

Post a Comment

0 Comments